Sabtu, 4 March 2023 | 3:37pm
Tinjauan udara menunjukkan kediaman penduduk ditenggelami banjir di Yong Peng. - FOTO AFP
Tinjauan udara menunjukkan kediaman penduduk ditenggelami banjir di Yong Peng. - FOTO AFP

JKM hantar segera keperluan asas mangsa banjir ke PPS

KUALA LUMPUR: Bilangan mangsa yang terlalu ramai di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Johor menyebabkan berlaku kekurangan keperluan asas seperti tilam, bantal dan selimut.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali, berkata penghantaran bekalan tambahan sudah dibuat oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Katanya, ia diselaraskan bersama rakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) serta Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD).

"Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) membantu JKM melaksanakan perolehan darurat bagi menambah keperluan ini dan bantuan turut digerakkan dari stor pangkalan negeri yang tidak terkesan banjir.

"JPBN turut membuat pembelian tambahan barangan keperluan menggunakan dana Kumpulan Wang Amanah Bencana Negara (KWABN) yang diselaraskan NADMA.

"Semua pihak disaran peka dengan amaran Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) menerusi myCUACA dan maklumat banjir MyPublicInfobanjir daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS)," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau melawat PPS IKTBN Pagoh, PPS Dewan Serbaguna Pagoh dan Pusat Kawalan Operasi Daerah Muar, Johor.

Armizan berkata, Segamat menjadi kawasan paling teruk terjejas dengan 13,358 mangsa daripada 3,921 keluarga yang ditempatkan di 77 PPS.

"Mangsa banjir di Johor membabitkan sembilan daerah iaitu Batu Pahat, Johor Bahru, Kluang, Kota Tinggi, Mersing, Muar, Pontian, Segamat dan Tangkak.

"Setakat ini, mangsa berjumlah 37,198 orang daripada 10,746 keluarga yang berada di 238 PPS," katanya.

Armizan turut menasihatkan mereka yang terkesan dengan banjir supaya tidak bertangguh berpindah ke PPS sekiranya menerima arahan pihak berkuasa.

Katanya, NADMA sudah diarah memastikan semua Pusat Kawalan Operasi (PKOB) peringkat negeri dan daerah terbabit bersiap sedia.

"Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) beroperasi 24 jam sehari untuk memantau dan membuat penyelarasan bersama semua agensi dan pihak terbabit dengan pengurusan bencana," katanya.

Beliau berkata, laporan NDCC merekodkan enam episod hujan lebat berlaku dengan yang keenam bermula pada 25 Februari lalu.

Armizan berkata, luruan monsun dijangka berterusan sehingga Isnin ini dengan hujan berterusan diramal di selatan Semenanjung manakala ribut petir di barat Sarawak.

"Enam negeri terkesan banjir setakat ini dengan 21 daerah iaitu Johor (sembilan), Pahang (enam), Negeri Sembilan (dua), Melaka (dua), manakala Sarawak dan Selangor masing-masing satu daerah.

"Jumlah keseluruhan mangsa ialah 40,648 orang daripada 11,776 keluarga di 274 PPS," katanya.

Armizan berkata, sejak bermulanya Monsun Timur Laut 2022/2023 pada November 2022 sehingga 3 Mac lalu, seramai 183,454 mangsa daripada 52,857 keluarga direkodkan.

Berita Harian X