KUALA TERENGGANU: Pengerusi UMNO negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Said menawarkan diri untuk bertanding jawatan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO bagi sesi 2023-2026, pada pemilihan parti 18 Mac ini.
Dengan keputusan itu, tiga pemimpin UMNO daripada negeri ini sah menawarkan diri untuk merebut jawatan bagi sesi 2023-2026.
Terdahulu, dua pemimpin UMNO daripada Terengganu termasuk Bekas Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Jailani Johari dan EXCO Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris, turut disahkan menawarkan diri bertanding jawatan MKT.
Ahmad yang juga bekas Menteri Besar dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal turut menawarkan diri bertanding mempertahankan jawatan sebagai Ketua UMNO Bahagian Kemaman.
Pada pemilihan peringkat bahagian, Ahmad yang juga penyandang jawatan Ketua UMNO Bahagian Kemaman dicabar Datuk Mohamed Rahim Hussin.
Ahmad yang juga bekas calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Kemaman pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) mengesahkan menawarkan diri bertanding MKT untuk bersama membantu pucuk pimpinan tertinggi parti memberi khidmat dan bakti kepada UMNO demi agama, bangsa serta tanah air tercinta.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JPU) negeri, Datuk Muda Mamat ketika dihubungi mengesahkan tiga pemimpin parti daripada Terengganu, termasuk Ahmad menawarkan diri untuk bertanding jawatan MKT.
Katanya, semua calon yang menawarkan diri bertanding dijangka hadir pada majlis pengenalan calon yang diadakan di seluruh negara bermula Khamis lalu hingga 15 Mac ini.
"Majlis pengenalan calon di peringkat negeri ini ditetapkan pada 15 Mac dan dijangka semua calon yang menawarkan diri dijangka hadir untuk memperkenalkan diri kepada perwakilan," katanya.