KOTA KINABALU: Tujuh pemimpin UMNO Sabah sah menawarkan diri untuk merebut jawatan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO bagi sesi 2023-2026.
Mereka termasuk tiga penyandang Ahli MKT iaitu Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin; Ketua UMNO bahagian Tuaran, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan dan bekas Ketua Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.
Empat muka baharu pula ialah Timbalan Menteri Luar yang juga Ketua UMNO bahagian Kimanis, Datuk Mohamad Alamin; Ketua UMNO bahagian Beluran, Julie Sabran; Ketua UMNO bahagian Penampang, Datuk Mohd Asnol Ayub dan Ketua UMNO bahagian Tawau, Ghazalie Ansing.
Sementara itu, UMNO Wilayah Persekutuan Labuan turut mempunyai seorang wakil untuk merebut kekosongan Ahli MKT iaitu Ketua Bahagiannya, Datuk Paduka Mohd Rafi Alli Hussin.
Secara keseluruhan lapan wakil Borneo mencuba nasib pada pemilihan Ahli MKT UMNO kali ini daripada 95 calon yang disahkan layak bertanding.
Sementara itu, Bung Moktar yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah dalam kenyataannya menyifatkan kepelbagaian latar belakang pemimpin UMNO Sabah yang menawarkan diri untuk merebut tempat di peringkat Pusat mampu memperkasakan lagi parti bagi menghadapi cabaran akan datang.
Katanya, pembabitan tujuh wakil UMNO Sabah pada pemilihan Ahli MKT kali ini juga menunjukkan demokrasi dalam UMNO tetap subur.
"Kita yakin ramai calon gandingan muka lama dan muka baharu dari pelbagai latar belakang akan dapat memberikan sumbangan pemikiran, menyatukan dan memperkasakan UMNO untuk menghadapi cabaran akan datang," katanya.
Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan berkata, walaupun berlaku tsunami kecil dalam UMNO Sabah berikutan tindakan segelintir pemimpinnya keluar parti baru-baru ini, ia tidak menjejaskan perjuangan parti itu.
Katanya, situasi itu juga bukan gambaran sebenar kedudukan UMNO Sabah seperti tanggapan negatif pihak tertentu berikutan akar umbinya masih kuat dengan hampir 600,000 keahlian ketika ini.
"Saya mengharapkan agar ahli dapat menjadikan pemilihan pada kali ini sebagai landasan untuk memperkukuh dan memperkasakan parti," katanya.