Jumaat, 3 March 2023 | 10:58pm
Gambar hiasan
Gambar hiasan

'Mustahil pastikan khidmat tren tanpa masalah teknikal' - Loke

KUALA LUMPUR: Mustahil untuk memastikan perkhidmatan tren berfungsi tanpa ada masalah teknikal, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

Ini kerana, beliau berkata, perkhidmatan tren di negara luar, pun tidak boleh 'lari' daripada masalah teknikal.

Bagaimanapun, beliau memberi jaminan pihaknya dapat mengurangkan masalah teknikal dihadapi perkhidmatan tren, namun menerusi usaha dan pendekatan secara berperingkat.

"Nak kata pulih sepenuhnya tidaklah. Dalam mana-mana sistem tren pengangkutan awam ini sukar untuk mengatakan bahawa langsung tidak ada kerosakan teknikal. Itu sesuatu yang tak mungkin berlaku dalam mana-mana sistem sekali pun. Di mana-mana negara sekali pun akan ada masalah teknikal dari semasa ke semasa.

"Cuma kita mesti kurangkan masalah teknikal tersebut. Apa yang kita laksanakan di peringkat Kementerian Pengangkutan sekarang ini, kita telah mengarahkan pihak Prasarana (Bhd) supaya mereka perlu memberikan fokus yang lebih kepada (aspek) penyelenggaraan.

"Untuk memastikan bahawa penyelenggaraan terhadap sistem tren kita dapat dijalankan dengan lebih baik, lebih terperinci supaya (dapat) mengurangkan masalah teknikal ini. Itu yang sedang dilaksanakan oleh pihak Prasarana," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diwawancara dalam program Ruang Bicara bertajuk Belanjawan 2023: Manfaat Sektor Pengangkutan yang disiarkan secara langsung menerusi saluran Bernama TV malam ini.

Menyentuh masalah yang acapkali berlaku membabitkan perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya, Loke berkata, hanya 42 tren yang beroperasi setakat ini iaitu di luar 'keupayaan' sebenar.

Tambahnya, banyak lagi tren yang sedang dalam penyelenggaraan dan selepas proses itu selesai, maka lebih banyak tren akan beroperasi sekali gus meningkatkan kekerapan perkhidmatan itu.

"Banyak tren ini masih dalam penyelenggaraan. Sekarang yang beroperasi hanya 42 tren untuk laluan Kelana Jaya. Jadi kita mempunyai kapasiti lebih 70 tren tetapi cuma sekarang ini belum lagi dapat beroperasi sepenuhnya.

"Jadi kekerapan itu agak panjang sedikit. (Sela masa) Lima minit baru satu tren (tiba di stesen), kita boleh turunkan supaya lebih kerap apabila lebih banyak tren dapat diselenggara menjelang suku ketiga pada tahun ini.

"Itu adalah 'on going process' (proses sedang berjalan) yang memang kita harap akan ada penambahbaikan, dapat mengurangkan masalah teknikal supaya perkhidmatan itu lebih baik, lebih dipercayai supaya akhirnya... apa yang penting untuk penumpang setiap hari (tren) ikut jadual dan tidak terlalu sesak dalam tren tersebut. Itu yang sedang kita usahakan," katanya.

Berita Harian X