KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini memutuskan, Ketua Audit Negara tidak dipujuk atau dipaksa membuat perubahan terhadap Laporan Audit syarikat pelaburan strategik negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Hakim Mohamed Zaini Mazlan dalam penghakimannya berkata, bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang, dalam keterangannya ketika perbicaraan kes menyatakan pindaan yang dilakukan ke atas laporan itu adalah wajar dan berasas.
Menurut Mohamed Zaini, tindakan memadam nama Low Taek Jho atau Jho Low daripada laporan itu juga berasas kerana minit mesyuarat Lembaga Pengarah 1MDB pada 26 September 2009 tidak mencatat nama ahli perniagaan dalam buruan itu walaupun dia menghadiri mesyuarat berkenaan.
"Adakah Ketua Audit Negara dipaksa atau dipujuk untuk mengubah laporan awal audit berkenaan? Pada pendapat saya, tidak. Bahagian yang dipadamkan itu diketahui dan dibincangkan secara terbuka oleh Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).
"Ketua Audit Negara mempunyai budi bicara mutlak untuk menerima sebarang cadangan pindaan kepada laporan berkenaan," katanya.
Antara perkara yang digugurkan daripada laporan audit itu adalah kegagalan Najib mendedahkan persetujuannya untuk menangguhkan usaha mengumpul dana RM5 bilion kepada Kabinet, kehadiran Jho Low dalam Mesyuarat Lembaga Pengarah 1MDB 2009 dan mengenai 1MDB mempunyai dua versi penyata kewangan untuk tahun kewangan 2014 atau kedua-dua penyata kewangan itu mempunyai maklumat berbeza.
Mohamed Zaini berkata, pindaan ke atas laporan itu dibuat di bawah pertimbangan dan persetujuan Ketua Audit Negara berdasarkan maklumat lanjut dan dokumen yang diperoleh kemudian daripada bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy (yang turut didakwa bersubahat dengan Najib).
Hakim berkata, pindaan bagi menggugurkan empat perkara daripada laporan audit awal terbabit tidak perlu dilakukan jika pihak pengurusan 1MDB memberikan kerjasama yang baik sebelum ia diterbitkan.
Katanya, maklumat yang diperoleh kemudian daripada Arul Kanda (tertuduh pertama) bagi pihak 1MDB bukan sesuatu yang luar biasa kerana Ambrin menerima pihak yang diaudit boleh mengambil bahagian dalam perbincangan mengenai laporan audit.
"Ketua Audit Negara adalah seorang yang berprinsip dan bukan main-main. Beliau penuh tekad menjalankan tugasnya dengan bersungguh-sungguh dan bukan seseorang yang tidak sabar.
"Beliau akan menjawab apa-apa persoalan yang diajukan secara langsung dan tidak bercakap lepas.
"Beliau adalah lambang individu yang berprinsip dan penuh profesionalisme," katanya.
Sementara itu, Mohamed Nazlan berkata, beliau menyedari Arul Kanda tidak cuba meminimumkan pembabitannya dan membesarkan kesalahan ke atas Najib ketika memberikan keterangan sebagai saksi pendakwaan.
Beliau berkata, pendakwaan tidak pernah mencabar mana-mana jawapan diberikannya yang memihak kepada Najib, dan tiada percubaan untuk menganggapnya sebagai saksi menentang.
Katanya, Arul Kanda tidak cuba untuk menyamari penipuan yang menyelubungi 1MDB.
Hakim itu berkata, umum mengetahui Arul Kanda dikecam dengan tidak adil secara terbuka berhubung hal ehwal 1MDB kerana banyak masalah yang timbul berlaku sebelum beliau menjadi CEO di syarikat itu.
Mohamed Zaini kemudian memerintahkan mahkamah mengeluarkan perakuan indemniti (pengecualian liabiliti undang-undang) terhadap Arul Kanda selepas mendapati beliau memberikan keterangan yang jujur dan menyeluruh
mengikut Seksyen 63(3) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.
Katanya, perakuan itu akan menjadi penghalang kepada semua prosiding undang-undang terhadapnya berhubung perkara yang timbul daripada pertuduhan dalam kes ini.