Jumaat, 3 March 2023 | 12:31pm

'Arahan pinda laporan tiada kaitan ganjaran didakwa diterima Najib'

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini yang memutuskan kes pindaan Laporan Pengauditan Akhir 1Malaysia Development Berhad (1MDB), mendapati tiada kaitan antara arahan Datuk Seri Najib Razak untuk membuat pindaan dalam laporan itu dengan ganjaran yang didakwa diterimanya.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan (kini Hakim Mahkamah Rayuan) dalam penghakimannya berkata, mahkamah membebaskan Najib dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy, selepas memberikan penilaian maksimum di akhir kes pendakwaan.

Menurut Mohamed Zaini, dalam keputusannya terhadap Najib selaku tertuduh kedua, mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie membabitkan elemen dalam pertuduhan terhadapnya.

Najib dan Arul Kanda yang berada dalam kandang tertuduh, kelihatan gembira dengan keputusan itu dan bekas perdana menteri itu juga sempat memeluk seorang penyokongnya.

Seorang penyokong Najib yang berada dalam mahkamah kedengaran menyebut 'Alhamdulillah' sebaik keputusan dibuat.

Sementara itu, Mohamed Zaini berkata, tiada bukti menunjukkan atau membuktikan Najib secara jelas mengarahkan pindaan dibuat ke atas laporan berkenaan untuk mengelak beliau dikenakan tindakan sivil atau jenayah.

"Beliau hanya bimbang laporan itu boleh diputar belit secara politik. Pihak pendakwaan tidak membuktikan bagaimana beberapa perkara dikeluarkan atau dipinda yang boleh menimbulkan liabiliti sivil atau jenayah kepada tertuduh kedua.

"Pindaan berkenaan, seperti yang dinyatakan oleh Ketua Audit Negara (ketika itu) adalah wajar.

"Mahkamah juga mendapati perkara yang dipinda atau dikeluarkan daripada laporan audit itu 'diketahui dan dibincangkan secara terbuka' oleh Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC)," katanya.

Mengenai Arul Kanda selaku tertuduh pertama yang didakwa bersubahat melakukan kesalahan itu, Mohamed Zaini berkata, bekas CEO 1MDB terbabit memberi keterangan yang benar dan menyeluruh selaku saksi pendakwaan.

"Tertuduh pertama (Arul) konsisten sepanjang keterangannya dan menjawab dengan jujur manakala jawapannya sama dengan keterangan dikemukakan saksi lain," katanya.

Arul Kanda yang didakwa bersubahat dengan Najib, memberikan keterangan terhadap bekas perdana menteri itu selama dua hari bermula 25 Ogos tahun lalu selepas dibenarkan mahkamah mengikut Seksyen 63 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang membolehkan tertuduh sesuatu kes menjadi saksi pihak pendakwaan.

Pendakwaan memohon Arul Kanda memberi keterangan terhadap Najib atas alasan beliau mempunyai maklumat penting yang boleh membuktikan kes terhadap bekas Ahli Parlimen Pekan itu, terutama berhubung satu mesyuarat pada 24 Februari 2016.

Menurut pendakwaan, keputusan membuat pindaan kepada Laporan Pengauditan Akhir 1MDB dilakukan ketika mesyuarat di pejabat bekas Ketua Setiausaha Negara, Allahyarham Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Berita Harian X