SEREMBAN: Jumlah mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di dua daerah di Negeri Sembilan meningkat kepada 1,061 orang setakat jam 8 pagi ini, berbanding 869 orang petang semalam.
Dua PPS baharu dibuka di daerah Tampin iaitu di Dewan Orang Ramai Kampung Tiong dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gemas, menjadikannya lapan setakat ini.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Sembilan, Leftenan Kol (PA) Mohd Nazri Mes Kam, berkata Tampin masih mencatat bilangan mangsa tertinggi di PPS iaitu 890 orang.
"PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Kelamah menempatkan 528 mangsa, diikuti 105 orang di PPS SMK Gemas dan 70 orang di Dewan Orang Ramai Kampung Tiong.
"Seramai 67 mangsa masih berada di PPS Sekolah Agama Rakyat (SAR) Felda Jelai 4, 46 mangsa di Dewan Besar Gemas, 45 mangsa di PPS SK Londah, 23 mangsa di SK Gedok dan empat orang ditempatkan di PPS Balai Raya Pasir Besar," katanya di sini, hari ini.
Sementara itu, Pegawai Daerah Kuala Pilah, Mohd Faizal Abdul Manap, berkata dua PPS di daerah itu dengan 62 mangsa banjir sebelum ini, ditutup hari ini selepas hujan reda.
"Mangsa juga dibenarkan pulang ke rumah masing-masing," katanya.