Jumaat, 3 March 2023 | 10:41am

Pinda Laporan Audit 1MDB: Najib, Arul Kanda dilepas dan dibebaskan

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi sebentar tadi membebaskan Datuk Seri Najib Razak dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy daripada tuduhan meminda Laporan Pengauditan Akhir 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Hakim Mohamed Zaini Mazlan yang kini Hakim Mahkamah Rayuan, membuat keputusan itu di akhir kes pendakwaan selepas mendapati pendakwaan tidak berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Najib dan Arul Kanda.

Najib (tengah) hadir ke Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur untuk sambungan prosiding perbicaraan berhubung kes 1MDB. - BERNAMA
Najib (tengah) hadir ke Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur untuk sambungan prosiding perbicaraan berhubung kes 1MDB. - BERNAMA

Sementara itu mahkamah membebaskan Arul Kanda daripada tuduhan bersubahat dengan Najib melakukan pindaan itu selepas memberikannya sijil indemniti (pengecualian liabiliti undang-undang) kerana keterangan yang diberikan beliau berikan selaku saksi pendakwaan pada Ogos tahun lalu adalah benar dan menyeluruh.

Najib, 70, didakwa pada 12 Disember 2018, menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dilakukan terhadap Laporan Pengauditan Akhir 1MDB sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk mengelakkan sebarang tindakan diambil terhadapnya.

Arul Kanda, 45, pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan berkenaan bagi melindunginya daripada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 23(1) dan 24(1) Akta SPRM yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Datuk Seri Najib Razak (kiri) dan Arul Kanda Kandasamy.
Datuk Seri Najib Razak (kiri) dan Arul Kanda Kandasamy.
Berita Harian X