Khamis, 2 March 2023 | 8:54pm

Ahli Parlimen gusar rakyat dibebani masalah banjir saban tahun

KUALA LUMPUR: Masalah banjir yang kerap melanda negara, menarik perhatian Ahli Parlimen daripada kedua-dua blok kerajaan dan pembangkang untuk tampil memberi cadangan, selain menyoal kerajaan mengenai langkah menangani isu berkenaan.

Pada hari keempat sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 di Dewan Rakyat, hari ini, mereka antara lain menyentuh isu peruntukan dan jenis bantuan yang wajar disalurkan bagi membantu mangsa banjir.

Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi (PN-Kuala Kedah) mempersoalkan sejauh mana komitmen kerajaan terhadap projek Rancangan Tebatan Banjir dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) bagi mengurangkan kesan bencana itu, khususnya di Kuala Kedah.

Beliau melahirkan kegusaran jika projek tebatan banjir tidak diselesaikan di kawasan Parlimen itu yang sinonim dengan penanaman padi, ia akan memberi kesan terhadap keterjaminan makanan serta pengeluaran beras negara.

"Justeru, perlu ada pelan kontingensi yang efektif jika berlaku fenomena air pasang yang mendorong limpahan air masuk ke dalam sawah.

"Apakah langkah kerajaan untuk mengurangkan risiko limpahan air pasang besar yang sering melanda Kuala Kedah, selain implikasi kerosakan yang ditanggung rakyat saban tahun akibat bencana berkenaan perlu ditangani segera," katanya.

Bagi Wong Shu Qi (PH-Kluang), kerajaan perlu melaksanakan tindakan drastik untuk melindungi nyawa serta harta rakyat, selain memberi peruntukan mencukupi khususnya kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kluang bagi melaksanakan projek mengurangkan risiko banjir.

"Ada kawan tanya saya, semalam... kenapa Kluang juga dilanda banjir, bukan Kluang terletak di kawasan hulu sungai. Itulah saya pun tidak faham kenapa setiap kali hujan lebat, Kluang dilanda banjir terlebih dahulu.

"Kita mungkin tidak mampu membesarkan sungai kerana pembangunan bandar berlaku di sebelah tebing sungai, rumah kampung juga dibina depan sungai. Justeru, boleh tak kita mendalamkan sungai sedia ada supaya kapasiti hulu sungai ditingkatkan?

"Bagaimanapun, setiap kali saya bincang dengan pegawai JPS daerah, masalah timbul ialah tidak cukup wang," katanya.

Turut membangkitkan isu sama ialah Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) yang bertanya mengenai jumlah peruntukan dan bentuk bantuan akan disediakan kerajaan untuk meringankan beban mangsa banjir kali ini.

"Besarlah harapan saya agar kerajaan dapat memberi bantuan seperti tahun lalu yang meliputi semua aspek seperti Bantuan Wang Ihsan, sumbangan pembelian barangan keperluan, bantuan baik pulih rumah dan pelbagai diskaun atau rebat," katanya. – BERNAMA

Antara kawasan dilanda banjir di Johor. - NSTP/NUR AISYAH MAZALAN
Antara kawasan dilanda banjir di Johor. - NSTP/NUR AISYAH MAZALAN
Berita Harian X