Khamis, 2 March 2023 | 8:32pm
Foto hiasan - FAIL NSTP
Foto hiasan - FAIL NSTP

Yusof Musa cuba nasib tanding Naib Presiden UMNO

KUALA LUMPUR: Calon kurang dikenali, Mohd Yusof Musa, antara yang sah bertanding merebut jawatan naib presiden UMNO pada pemilihan parti bagi penggal 2023/2026.

Difahamkan, Mohd Yusof adalah ahli UMNO Bahagian Iskandar Puteri yang pernah bertanding pada Pemilihan UMNO 2018, namun tewas.

Beliau antara lapan calon yang bertanding merebut jawatan ketiga tertinggi parti berkenaan.

Tujuh lagi calon merebut jawatan sama ialah dua penyandang iaitu Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan bekas Ahli Parlimen Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Ia termasuk tiga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Calon lain adalah Ahli Parlimen Simpang Renggam merangkap bekas menteri besar Johor, Datuk Seri Hasni Mohamad dan Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Dalam perkembangan lain, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JPU) 2023, Tan Sri Shahrir Abdul Samad, mengesahkan tiga calon jawatan Ketua Pemuda UMNO ditolak, namun tidak menyatakan nama.

Jelasnya, pencalonan itu tidak layak selepas syarat calon berkenaan tidak mematuhi perlembagaan parti.

Beliau mengesahkan ada penampilan semula pemimpin UMNO bagi pemilihan kali ini.

"(Datuk Seri Mohd) Johari Baharom antara orang lama yang buat penampilan semula. Ada muka baharu dan muka lama... semua ada. termasuk tua dan muda," katanya.

Berita Harian X