KOTA TINGGI: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan mengumumkan senarai calon yang akan bertanding pada peringkat nasional dalam pemilihan UMNO, malam ini.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, ramai calon menawarkan diri pada pemilihan kali ini dan parti buat kali pertama akan menganjurkan majlis pengumuman calon itu mengikut setiap negeri.
"Malam ini buat kali pertama saya akan mengadakan majlis memperkenalkan calon yang akan bertanding pada peringkat nasional yang akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia (WTC), jam 8.30 malam ini.
"Kita ketahui ramai berminat untuk bertanding, saya sendiri walaupun Insya-Allah tidak perlu bertanding (jawatan Presiden) bersama Timbalan Presiden, kami tetap akan bersama-sama, memperlihatkan kebersamaan kami dengan calon yang menawarkan diri," katanya pada sidang media selepas meninjau pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Jenis Kebangsaan Cina New Kota, di sini, hari ini.
Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Terdahulu, Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk itu dengan diiringi Onn Hafiz turut meninjau keadaan banjir di pusat bandar Kota Tinggi yang semakin buruk, selain meninjau PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Datuk Usman Awang.
Media sebelum ini melaporkan, pemilihan UMNO dijadualkan bermula 1 Februari lalu hingga 18 Mac depan, dengan Persidangan Tahunan UMNO Cawangan bersama Pemilihan Jawatankuasa Cawangan dan Wanita, Pemuda serta Puteri Cawangan, dari 1 hingga 26 Februari.
Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian bersama Pemilihan EXCO Wanita, Pemuda serta Puteri UMNO Pusat pula akan diadakan serentak di seluruh negara pada 11 Mac depan.
Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa UMNO Bahagian bersama Pemilihan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pula akan diadakan serentak di seluruh negara pada 18 Mac depan.
Pemilihan UMNO perlu diadakan setiap tiga tahun dengan kali terakhir UMNO mengadakan pemilihan pada 30 Jun 2018.