Khamis, 2 March 2023 | 4:22pm

Banjir di Kota Tinggi semakin buruk

KOTA TINGGI: Keadaan banjir di daerah ini termasuk pusat bandar, semakin buruk apabila paras air terus naik lebih tinggi berbanding semalam.

Antara kawasan lain yang turut terjejas di daerah itu ialah Kampung Sepak Hulu dan Hilir, Kampung Sri Delima, Kampung Semanggar Hilir dan Dalam, Kampung Mawai, Kampung Sungai Telor, Kampung Temenin Lama dan Baru, Taman Aman, Taman Mawai, Taman Gunung Emas dan Taman Hidayat.

Ia menyebabkan kesesakan di beberapa laluan di daerah ini berikutan banjir menenggelamkan lebih banyak kawasan berbanding semalam.

Tinjauan di pusat bandar berkenaan mendapati air banjir semakin menenggelamkan deretan kedai yang terletak bersebelahan Sungai Johor.

Malah, paras air yang makin tinggi turut menenggelamkan kawasan pusat bandar yang tidak terjejas semalam menyebabkan peniaga-peniaga mula memindahkan barangan daripada premis mereka.

Semua pintu keluar masuk ke pusat bandar sudah dikawal sepenuhnya pihak berkuasa termasuk anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang mengarahkan semua kenderaan termasuk kenderaan berat berpatah balik.

Peniaga memindahkan barang jualan akibat kedai mereka dinaiki air di pusat bandar Kota tinggi, Johor. - Foto NUR AISYAH MAZALAN
Peniaga memindahkan barang jualan akibat kedai mereka dinaiki air di pusat bandar Kota tinggi, Johor. - Foto NUR AISYAH MAZALAN

Orang ramai turut dilihat diarahkan beredar segera berikutan hujan lebat sejak tengah hari tadi berisiko meningkatkan paras air.

Pekerja estet, Roslan Dahlan, 58, berkata banjir kali ini dilihat lebih pantas menenggelamkan pusat bandar berbanding semalam.

"Petang semalam penduduk lega apabila hujan mulai berhenti, namun sejak tengah hari tadi hujan lebat semula.

"Air Sungai Johor melimpah pun air bah semakin dalam bayangkanlah jika air Sungai Johor ditakdirkan melimpah," katanya ketika ditemui.

Paras air Sungai Johor melepasi paras bahaya 2.87 meter berbanding paras normal 2.60 meter, sekali gus meningkatkan risiko seluruh pusat bandar ditenggelami air jika hujan lebat berterusan ketika fenomena air pasang besar berlaku.

Keadaan terkini paras air banjir semakin meningkat di Kota tinggi, Johor. NSTP/NUR AISYAH MAZALAN
Keadaan terkini paras air banjir semakin meningkat di Kota tinggi, Johor. NSTP/NUR AISYAH MAZALAN

Mangsa banjir di Johor dilaporkan terus melonjak kepada 26,633 orang terdiri daripada 7,311 keluarga, setakat jam 12 tengah hari.

Kota Tinggi mempunyai seramai 2,921 mangsa daripada 773 keluarga di 18 PPS.

Menurut Azmi, seramai 956 mangsa daripada 242 keluarga pula dipindahkan ke enam PPS di Kulai, manakala 932 mangsa daripada 255 keluarga pula berada 13 PPS di Tangkak.

Laporan cuaca Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) setakat jam 12 tengah hari tadi juga mendapati semua daerah di Johor mengalami hujan lebat kecuali Segamat yang sudah cerah.

Anggota ATM mengawal laluan masuk ke bandar yang ditutup untuk kegunaan orang ramai berikutan paras air banjir semkain meningkat di Kota tinggi, Johor. - Foto NUR AISYAH MAZALAN
Anggota ATM mengawal laluan masuk ke bandar yang ditutup untuk kegunaan orang ramai berikutan paras air banjir semkain meningkat di Kota tinggi, Johor. - Foto NUR AISYAH MAZALAN
Berita Harian X