KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyambut baik cadangan untuk mengkaji menaikkan harga lantai getah sekerap sekurang-kurangnya kepada RM3 sekilogram berbanding RM2.70 yang diumumkan pada Belanjawan 2023.
Bagaimanapun, beliau berkata pengumuman bagi penetapan harga lantai getah itu seharusnya dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Saya fikir sidang belanjawan itu satu pengumuman kenaikan yang akan dilaksanakan, bakal memberi kelegaan kepada pekebun kecil getah untuk meningkatkan hasil pendapatan mereka.
"Kami sangat gembira, tetapi kami tidak mahu pengumuman itu datang daripada Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Siti Aminah Aching tetapi mahu dibuat oleh Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan," katanya pada sidang media selepas merasmikan Perhimpunan Bulanan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di ibu pejabat Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Rubiah Wang dan Ketua Setiausaha KKDW, Datuk Seri Ramlan Harun.
Beliau mengulas kenyataan Siti Aminah di Dewan Rakyat pada Selasa bahawa kementerian itu akan memperhalusi cadangan menaikkan harga lantai getah sekerap kepada RM3 sekilogram.
Ahmad Zahid berkata, cadangan menaikkan harga lantai getah itu seiring usaha kerajaan sebelum ini yang menaikkan Harga Pengaktifan Insentif Pengeluaran Getah (IPG) daripada RM2.50 kepada RM2.70 menerusi peruntukan sebanyak RM350 juta.
Pada majlis sama, beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, turut melancarkan Tahun Peningkatan Pendapatan dan Produktiviti Pekebun Kecil yang mana ia memfokuskan kepada peningkatan pendapatan produktiviti hasil lateks, pembangunan keusahawan serta program agromakanan yang bakal memanfaatkan lebih 500,000 pekebun kecil di seluruh negara.
Beliau berkata, kementeriannya mahu penghasilan lateks dapat dipertingkatkan, berikutan kira-kira 80 peratus kegunaan domestik bahan itu adalah hasil daripada import.
"Dengan penggunaan itu, sebanyak RM3 bilion import lateks diperlukan untuk menampung pengeluaran industri domestik.
"Justeru, bagi menyokong strategi peningkatan pendapatan ini, Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) menyediakan Penetapan Zon Pengeluaran Lateks bagi membantu meningkatkan produktiviti getah kepada 1,800 kilogram bagi setiap hektar setahun.
"Selain itu, sebanyak 15 depo pengumpulan lateks akan dibina pada tahun ini bagi merancakkan penghasilan lateks oleh pekebun kecil sekali gus melengkapkan 51 depo pengumpulan sedia ada," katanya.
Katanya, melalui penghasilan lateks, ia mampu meningkatkan lebih 30 peratus pendapatan pekebun kecil.
"Buat masa ini, harga lateks boleh mencecah hingga RM6.37 sekilogramberbanding harga skrap RM2.41 sekilogram.
"Menerusi program keusahawanan pula, RISDA menyasarkan untuk membimbing seramai 22,500 usahawan pekebun kecil dengan nilai bantuan RM20,000 setiap penerima.
"Program ini bagi memastikan 30 peratus pekebun kecil memperoleh purata pendapatan RM2,500 sekeluarga menjelang 2025 melalui aktiviti keusahawanan," katanya.