KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini akan memutuskan esok sama ada Datuk Seri Najib Razak perlu menjawab tuduhan beliau guna jawatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan untuk mengarahkan maklumat penting dikeluarkan daripada laporan akhir audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Hakim Mohamed Zaini Mazlan yang kini hakim Mahkamah Rayuan juga akan memutuskan di akhir kes pendakwaan, sama ada keterangan yang diberikan oleh bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Arul Kanda Kandasamy terhadap Najib adalah benar dan menyeluruh bagi membolehkan mahkamah memberikannya sijil indemniti (pengecualian daripada liabiliti undang-undang).
Arul Kanda yang didakwa bersubahat dengan Najib, memberikan keterangan terhadap bekas perdana menteri itu selama dua hari bermula 25 Ogos tahun lalu selepas dibenarkan mahkamah mengikut Seksyen 63 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang membolehkan tertuduh dalam sesuatu kes menjadi saksi bagi pihak pendakwaan.
Pendakwaan memohon Arul Kanda memberikan keterangan terhadap Najib atas alasan beliau memiliki maklumat penting yang boleh membuktikan kes terhadap bekas Ahli Parlimen Pekan itu terutamanya berhubung satu mesyuarat yang diadakan pada 24 Februari 2016.
Menurut pendakwaan, keputusan untuk membuat pindaan kepada Laporan Pengauditan Akhir 1MDB dilakukan ketika mesyuarat berkenaan yang diadakan di pejabat bekas Ketua Setiausaha Negara, Allahyarham Tan Sri Dr Ali Hamsa.
Jika berjaya memperoleh sijil indemniti mengikut peruntukan berkenaan, mahkamah boleh membebaskan atau melepas tanpa membebaskan Arul Kanda daripada tuduhan bersubahat berkenaan.
Sementara itu, ketika membacakan pernyataan pembukaan pada hari pertama perbicaraan kes pada 18 November 2019, Timbalan Pendakwa Raya Kanan, mendiang Datuk Seri Gopal Sri Ram berkata pendakwaan akan menunjukkan Najib melakukan perbuatan itu bagi mengelak pertuduhan sivil atau jenayah terhadapnya sebagai pengarah bayangan 1MDB, dan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh ganjaran sebagaimana dalam Seksyen 3 SPRM.
Bagaimanapun, jika mahkamah mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie dan Arul Kanda gagal mendapat sijil indemniti, Najib dan Arul Kanda akan diperintahkan membela diri dengan diberi tiga pilihan iaitu pertama berdiam diri; kedua memberi keterangan di kandang tertuduh; dan ketiga memberikan keterangan dari kandang saksi dalam keadaan bersumpah.
Menurut Sri Ram, Najib melakukannya dengan niat rasuah sebagaimana dinyatakan dalam Seksyen 23 akta sama dan pendakwaan akan membuktikannya secara langsung dan mengikut keadaan, sejauh mana tertuduh mengeluarkan bahan dari rekod rasmi untuk menghalang pendedahan keadaan sebenar.
Sri Ram menegaskan bahawa Najib tahu, atau sudah pasti dalam konteksnya, jika kebenaran itu muncul, beliau akan terdedah kepada tanggungjawab sivil atau jenayah.
Najib, 70, didakwa pada 12 Disember 2018, menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dilakukan terhadap Laporan Pengauditan Akhir 1MDB sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk mengelakkan sebarang tindakan diambil terhadapnya.
Arul Kanda, 45, pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan berkenaan bagi melindunginya daripada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.
Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 23(1) dan 24(1) Akta SPRM yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan menutup kesnya pada 7 September tahun lalu, selepas memanggil 16 saksi bagi memberi keterangan dalam perbicaraan yang berlangsung selama 43 hari bermula pada 18 Februari 2019.
Ia kemudian menawarkan 18 saksi kepada pembelaan, antaranya bekas Pengerusi PAC Datuk Nur Jazlan Mohamed; bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad dan bekas CEO 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi.
Antara saksi utama yang memberikan keterangan terhadap Najib sepanjang perbicaraan ialah Ali Hamsa; bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang dan Tan Sri Dr Madinah Mohamad.