KUALA LUMPUR: Lebih 460,000 pelajar di institusi pendidikan tinggi (IPT) adalah daripada keluarga B40, membabitkan 385,555 di IPT awam (IPTA) dan 83,503 lagi di IPT swasta (IPTS).
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata angka itu direkodkan setakat 20 Februari lalu.
Beliau berkata, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melaksanakan pelbagai inisiatif dan bantuan dalam usaha menjaga kebajikan serta kesejahteraan pelajar berkenaan di seluruh negara.
"Antara inisiatif pada peringkat KPT ialah pelaksanaan program SULUNG, iaitu pembiayaan penuh pengajian kepada pelajar generasi pertama dalam keluarga B40 yang berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi.
"Pembiayaan ini mencakupi bantuan perbelanjaan kemasukan, kewangan dan pembangunan insaniah pelajar. Projek rintis program ini dimulakan pada tahun lalu membabitkan lapan universiti awam (UA) dengan peruntukan sebanyak RM5.3 juta," katanya dalam jawapan lisan yang disiarkan melalui laman sesawang Parlimen.
Beliau menjawab soalan Muhammad Fawwaz Mohamad Jan (PN-Permatang Pauh) yang meminta Menteri Pendidikan Tinggi menyatakan jumlah pelajar IPTA dan IPTS daripada kalangan keluarga B40, serta perancangan untuk membantu meringankan beban mereka.
Mengulas lanjut, Mohamed Khaled memaklumkan bagi tahun ini, program berkenaan akan terus dilaksana dan diperluaskan kepada semua 20 UA membabitkan lebih ramai pelajar B40.
Beliau berkata, KPT turut melaksanakan inisiatif Food@Campus sejak 2021, selain memperkenalkan Menu Rahmah Siswa yang menawarkan menu makanan dengan penetapan harga antara RM3.50 hingga RM5.
"Sasaran utama inisiatif ini adalah untuk membantu meringankan tanggungan perbelanjaan makanan harian pelajar di IPT.
"Hingga pertengahan bulan lalu, sebanyak 224,420 hidangan Menu Rahmah Siswa disediakan kepada pelajar di 20 UA, membabitkan penyertaan kira-kira 370 pengusaha kafeteria, kios, gerai serta penyedia perkhidmatan makanan," katanya.
Beliau berkata, KPT juga bekerjasama dengan beberapa rakan strategik dalam pemberian bantuan kepada pelajar yang memerlukan.
"Menerusi kerjasama ini, Lembaga Tabung Haji (TH) melalui inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) Zakat TH, melaksanakan Program Iqra TH yang merupakan sumbangan bantuan kepada pelajar asnaf atau B40 di UA," katanya.
Di samping itu, kementerian menawarkan Dermasiswa B40 Bidang Pendidikan Dan Latihan Teknikal Dan Vokasional (TVET) khusus kepada pelajar B40 yang mengikuti pengajian dalam bidang berkenaan pada peringkat diploma atau ijazah sarjana muda di IPTA.
"Bawah Dermasiswa B40 ini, KPT memberi tanggungan sepenuhnya yuran pengajian serta elaun wang saku sebanyak RM630 sebulan bagi pelajar yang mengikuti pengajian diploma dan RM700 sebulan untuk peringkat ijazah," katanya.