MATU: Kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun yang dilaporkan hilang dari rumah di Rumah Raya, Sungai Ilas, Batang Igan di sini ditemukan mati lemas hari ini.
Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam (APM) berkata mayat mangsa dijumpai oleh penduduk kampung pada jam 6.15 petang tadi dalam lingkungan 100 meter dari rumahnya, yang terletak di tebing sungai.
"Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Daro untuk tindakan selanjutnya," katanya.
Mangsa disedari hilang pada jam 4.30 petang semalam, ketika ditinggalkan ibunya di ruang tamu rumah kerana ibunya keluar membeli sayur di kedai berdekatan.
Mangsa dikhuatiri terjatuh ke dalam sungai kerana pintu bahagian dapur rumah terbuka dan rumah mereka berada di tebing Batang Igan.
Usaha mencari mangsa yang dilakukan oleh penduduk kampung pada petang semalam turut gagal menjumpainya.
Susulan itu, operasi pencarian diteruskan hari ini melibatkan anggota APM, polis serta penduduk kampung.