Rabu, 1 March 2023 | 4:18pm
Gambar hiasan
Gambar hiasan

Ops TIRIS dilancarkan perangi penyelewengan diesel subsidi

PUTRAJAYA: Lima kementerian dan lapan agensi kerajaan digembleng dalam Ops TIRIS bagi membanteras penyelewengan diesel bersubsidi bermula hari ini.

Operasi berkenaan akan berterusan sehingga 31 Ogos ini bagi mengekang isu itu yang ditimbulkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2023 membabitkan ketirisan subsidi bahan bakar itu sebanyak RM10 bilion pada 2022.

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Azman Mohd Yusof, berkata selain kementeriannya, operasi bersepadu itu turut membabitkan Kementerian Kewangan (MOF), Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Pertahanan (MINDEF) serta Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS).

"Agensi lain ialah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Gerak Am (PGA), Pasukan Polis Marin (PPM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM)," katanya dalam kenyataan hari ini.

"Selain itu, dua jawatankuasa ditubuhkan di dalam pelaksanaan Ops TIRIS iaitu Jawatankuasa Pemandu (JKP) yang membabitkan penetapan dasar yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha KPDN.

"Jawatankuasa Teknikal (JKT) pula membabitkan urusan pelaksanaan operasi yang dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN," katanya

Terdahulu beliau mempengerusikan mesyuarat pertama pasukan petugas pelbagai agensi itu bagi menangani ketirisan diesel subsidi, hari ini.

Pasukan petugas pelbagai agensi itu ditubuhkan susulan isu yang dibangkitkan oleh Anwar.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub, sebelum ini juga menegaskan kementerian akan mendapatkan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis jika siasatan dalaman mendapati ada isu yang lebih serius dalam ketirisan itu.

Azman berkata diesel bersubsidi dijual di stesen minyak pada harga kawalan iaitu RM 2.15 seliter.

"Faktor harga yang murah ini dan bekalan yang mudah diperolehi antara faktor utama peningkatan permintaan daripada industri sama ada untuk kegunaan domestik mahupun untuk dieksport.

"Kedudukan geografi dengan negara jiran juga turut mempengaruhi aktiviti penyelewengan diesel bersubsidi.

"KPDN sentiasa memperkasakan penguatkuasaan yang tegas di semua peringkat, kawasan dan lokaliti termasuk kawasan kepulauan, sempadan, kawasan perindustrian atau eksport, bandar serta di luar bandar," katanya.

Tambah beliau, berdasarkan statistik penguatkuasaan KPDN sejak 2019 sehingga Januari 2023, sebanyak 3,085 kes telah dihasilkan oleh Bahagian Penguat Kuasa bagi pelbagai kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 yang membabitkan barang-barang kawalan.

"Nilai rampasan bagi keseluruhan kes itu adalah sebanyak RM82.56 juta. Manakala bagi kes di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 yang diterima daripada serahan agensi luar pula adalah sebanyak 1,243 kes dengan nilai rampasan sebanyak RM101.91 juta.

"Sejumlah 1,411 kes membabitkan barang kawalan diesel dan petrol dengan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM 27.9 juta dalam tempoh yang sama," katanya.

Azman berkata, daripada jumlah keseluruhan kes yang dihasilkan itu, sebanyak 2,719 kes dikenakan kompaun dengan jumlah keseluruhan bernilai RM11.07 juta.

"Sekumlah 21 kes lagi dikenakan denda oleh mahkamah dengan nilai keseluruhannya sebanyak RM523,800 dan selebihnya masih dalam siasatan," katanya.

Berita Harian X