Rabu, 1 March 2023 | 7:59am
Foto fail NSTP
Foto fail NSTP

118 pencalonan diterima, 8 tanding Naib Presiden, 95 MKT UMNO

KUALA LUMPUR: Seramai 118 pencalonan diterima bagi merebut jawatan tertinggi UMNO, khususnya Naib Presiden dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada pemilihan parti itu bulan depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JPU) 2023, Tan Sri Shahrir Abdul Samad, berkata daripada jumlah itu, lapan pemimpin menawarkan diri merebut tiga jawatan Naib Presiden sementara 95 bagi jawatan Ahli MKT.

Katanya, tiga pencalonan bagi Ahli MKT ditolak selepas didapati tidak memenuhi syarat untuk bertanding iaitu seorang anggota MKT atau pernah memegang jawatan sekurang-kurangnya satu penggal atau tiga tahun di peringkat bahagian.

"Pada 26 Februari (tarikh akhir kemuka pencalonan), kita sudah terima bagi peringkat Ahli MKT seramai 118 calon yang mendaftar dan kita sudah lakukan semakan dari segi kelayakan mereka bertanding di peringkat MKT.

"Daripada 98 yang sudah diterima di peringkat Ahli MKT, kita sudah semak dan kita dapati tiga tak layak menawarkan diri dan kita sudah tolak tiga ini, akhirnya pencalonan Ahli MKT yang menawarkan diri dan diterima (pencalonannya) adalah seramai 95 orang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel pada program Wawancara Khas Bersama JPU yang disiar menerusi Facebook UMNO Online, malam tadi.

Secara keseluruhannya, beliau berkata seramai 383 calon bertanding merebut jawatan di peringkat pusat termasuk dua pencalonan bagi Pengerusi Tetap UMNO, Timbalan Pengerusi Tetap UMNO (10 calon) serta tiga sayap UMNO.

Katanya, bagi Wanita UMNO, seramai 70 pencalonan diterima iaitu membabitkan dua pencalonan masing-masing bagi saingan Pengerusi Tetap Wanita UMNO, Ketua Wanita UMNO dan Naib Ketua Wanita UMNO.

"Bagi jawatan Timbalan Pengerusi Tetap Wanita UMNO, empat calon menawarkan diri, sementara bagi EXCO Wanita pula, 60 pencalonan diterima untuk mengisi 20 jawatan yang ditawarkan.

"Bagi Pemuda UMNO, keseluruhannya 142 pencalonan diterima iaitu tujuh bagi jawatan Pengerusi Tetap Pemuda UMNO, empat Timbalan Pengerusi Tetap Pemuda UMNO, lima pencalonan Ketua Pemuda UMNO dan empat Naib Ketua Pemuda UMNO serta 113 EXCO pemuda," katanya.

Bagi Puteri UMNO pula, katanya seramai 56 calon menawarkan diri iaitu masing-masing dua pencalonan bagi jawatan Pengerusi Tetap Puteri UMNO serta timbalannya, enam pencalonan bagi jawatan Ketua Puteri UMNO, tiga bagi Naib Ketua Puteri UMNO serta 43 pencalonan bagi EXCO Puteri.

Shahrir berkata, semua calon yang sudah diterima pencalonannya oleh JPU juga masih boleh mengambil keputusan untuk menarik diri iaitu sebelum jam 2 petang esok.

Katanya, pada jam 2 petang esok juga akan diadakan majlis mencabut nombor undi calon yang bertanding bagi semua peringkat iaitu bermula dengan puteri, pemuda, wanita, Ahli MKT serta Naib Presiden, berlangsung di Auditorium UMNO di Menara Dato' Onn di sini.

Penentuan bagi jawatan Naib Presiden dan Ahli MKT UMNO akan dibuat pada 18 Mac depan ketika berlangsungnya mesyuarat UMNO bahagian di seluruh negara, sementara tiga sayap UMNO pula, berjalan pada 11 Mac.

Berita Harian X