Selasa, 28 Februari 2023 | 7:52pm

'Sekarang waktu untuk bekerja, untuk tunai janji...' - Hajiji

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menggesa anggota perkhidmatan awam negeri dan Persekutuan terus memberikan sokongan kepada kerajaan negeri dalam usaha gigih memajukan Sabah.

Katanya, sekarang waktu tepat untuk anggota perkhidmatan awam dan Persekutuan bekerja lebih keras dalam membangunkan semula ekonomi negeri dan memajukan rakyat.

"Sekarang waktu untuk bekerja, waktu untuk menunaikan janji dan melaksanakan apa yang kita laksanakan untuk rakyat.

"Sebagai anggota perkhidmatan awam, kita seharusnya memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap segala usaha bagi membina semula ekonomi negeri dan membela nasib rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Amanat Perdana Menteri Kepada Anggota Perkhidmatan Awam Negeri dan Persekutuan di Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.

Majlis dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Dalam pada itu, Hajiji turut mengajak semua anggota perkhidmatan awam untuk melipat-gandakan lagi usaha serta khidmat bakti bagi memastikan negeri ditadbir dengan cemerlang dan rakyat dibela sebaik-baiknya.

Katanya, sebagai jentera pelaksana dasar dan program pembangunan kerajaan, anggota perkhidmatan awam menjadi pemangkin bagi merealisasikan segala dasar serta perancangan yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

Dalam konteks Sabah, beliau berkata, Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 1.0 adalah wadah untuk menempatkan semula Sabah pada landasan yang tepat ke arah kemajuan.

Menurutnya, pendekatan itu selaras dan selari dengan aspirasi Perdana Menteri yang memperkenalkan gagasan besar Malaysia Madani.

"Tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa Sabah adalah negeri terawal yang menyambut baik konsep Malaysia Madani dengan menganjurkan seminar, forum dan bengkel bagi mengupas dan mendalami konsep itu.

"Saya berharap agar seluruh anggota perkhidmatan awam sentiasa bersikap terbuka dan bersedia untuk menghadapi perubahan dan cabaran, sesuai dengan perkembangan dan kehendak semasa.

"Jadilah penjawat awam yang berdaya kreatif, bersikap proaktif serta memiliki semangat untuk berlumba dalam mencapai kejayaan secara sihat, berintegriti dan menjauhi rasuah," katanya.

Datuk Seri Anwar Ibrahim (depan empat dari kanan) dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor (depan tiga dari kanan) bersama hampir 6,000 pegawai kanan dan penjawat awam hadir pada Majlis Amanat Perdana Menteri kepada Penjawat Awam Negeri dan Persekutuan Sabah di Sabah International Convention Centre (SICC), Kota Kinabalu, hari ini. - NSTP/MOHD ADAM ARININ
Datuk Seri Anwar Ibrahim (depan empat dari kanan) dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor (depan tiga dari kanan) bersama hampir 6,000 pegawai kanan dan penjawat awam hadir pada Majlis Amanat Perdana Menteri kepada Penjawat Awam Negeri dan Persekutuan Sabah di Sabah International Convention Centre (SICC), Kota Kinabalu, hari ini. - NSTP/MOHD ADAM ARININ
Berita Harian X