Selasa, 28 Februari 2023 | 1:14pm
 Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan. Foto ihsan Penerangan Gagasan Rakyat
Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan. Foto ihsan Penerangan Gagasan Rakyat

Gagasan Rakyat dilancar Khamis ini

KOTA KINABALU: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) yang menjadi landasan baharu politik bekas ahli dan pemimpin BERSATU Sabah yang kini sudah memiliki kira-kira 100,000 ahli akan dilancarkan Khamis ini.

Ketua Penerangan Gagasan Rakyat, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata pelancaran parti baharu itu akan disempurnakan Ketua Menteri Sabah selaku presidennya, Datuk Seri Hajiji Noor.

Katanya, kira-kira 5,000 ahli parti itu dari seluruh negeri dijangka hadir pada majlis berkenaan yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, bermula seawal jam 7 pagi.

"Kita menjangka kehadiran kira-kira 5,000 orang dari seluruh Sabah. Ketika ini kita mempunyai hampir 100,000 ahli, majoritinya daripada BERSATU selepas keluar dari parti sebelum ini.

"Sebenarnya banyak lagi permohonan dijangka diterima daripada bekas ahli BERSATU dan mereka yang belum ada parti serta berminat menyokong kepemimpinan Gagasan Rakyat dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS)," katanya pada majlis ramah mesra bersama media, di sini, hari ini.

Hajiji yang juga Pengerusi GRS secara rasmi menerajui Gagasan Rakyat pada mesyuarat agung khas parti itu awal bulan ini dengan Setiausaha Agung GRS, Datuk Masidi Manjun sebagai timbalannya.

Ketika ini Gagasan Rakyat mempunyai 25 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk lima bekas ADUN UMNO dan empat bekas ADUN WARISAN yang mengumumkan keluar parti antara awal bulan ini hingga semalam.

Ia menjadikan Gagasan Rakyat sebagai parti yang memiliki paling ramai ADUN dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ketika ini selain parti terbesar dalam kerjasama GRS.

Sementara itu, Nizam yang juga Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, menyifatkan tindakan bekas ADUN WARISAN yang menyertai Gagasan Rakyat sebagai keyakinan terhadap perjuangan parti itu di Sabah.

"Ini petunjuk bahawa perjuangan Gagasan Rakyat adalah satu perjuangan yang menarik minat orang di luar sana termasuk ADUN parti lain untuk bersatu dan bersama berjuang demi kebaikan rakyat serta Sabah.

"Fokus kita ialah membawa pembangunan dan kemajuan, kita tidak mahu terlalu berpolitik yang akhirnya merencatkan usaha kita membawa kemajuan kepada rakyat dan negeri," katanya.

Semalam, ADUN Petagas, Datuk Awang Ahmad Sah Sahari adalah yang keempat mengumumkan keluar WARISAN dan menyertai Gagasan Rakyat selepas tiga ADUN parti itu iaitu Norazlinah Arif (Kunak), Mohammad Mohamarin (Banggi) dan Chong Chen Bin (Tanjung Kapor) pada awal bulan ini.

Nizam berkata, beliau percaya tindakan ADUN terbabit dibuat selepas tidak lagi sanggup bersama WARISAN yang banyak berpolitik hingga lupa fokus mereka untuk membantu dan memajukan rakyat serta negeri.

Berita Harian X