Isnin, 27 Februari 2023 | 5:59pm

Pesara kerajaan sediakan Menu Rahmah, boleh makan di restoran atau COD

KOTA BAHRU: Seorang pesara kerajaan menyediakan 10 hidangan, termasuk masakan panas Menu Rahmah bagi menyokong usaha kerajaan menangani kos sara hidup rakyat.

Antara hidangan ditawarkan pada harga RM4.50 adalah nasi dihidangkan bersama ayam goreng atau gulai ayam dan sayur bersama teh o ais, manakala menu lain pada harga RM4.90 adalah nasi ayam, mi, kuetiau dan bihun celup berserta segelas teh o ais.

Kamaruzaman Hussin, 44, dari Kampung Wakaf Setan, yang mengusahakan restoran Pondok Kebaboom di Pasir Tumboh, di sini, berkata masakan panas disediakan pada harga RM4.90, antaranya nasi, mi, bihun dan kuetiau goreng berserta segelas minuman.

Katanya, 10 hidangan Menu Rahmah, termasuk empat masakan panas bertujuan menyahut saranan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi menangani kos sara hidup rakyat.

"Saya terpanggil untuk menjual pelbagai hidangan Menu Rahmah berharga bawah RM5 sebagai menyahut seruan kerajaan terutama KPDN bagi membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat yang kurang berkemampuan.

"Memang untung bagi setiap hidangan itu kecil, tapi jika dijual dalam kuantiti yang banyak, untung diperoleh tetap sama. Ini juga usaha kebajikan dan tanggungjawab sosial kita kepada rakyat kurang berkemampuan," katanya ketika ditemui.

Kamaruzaman berkata, sejak menjual hidangan Menu Rahmah akhir bulan lalu, sambutan masyarakat amat mengalakkan.

"Jualan nasi ayam contohnya, bertambah daripada dua hingga tiga ekor ayam sehari kepada lapan hingga 10 ekor," katanya menjelaskan masakan panas terutama nasi, mi, bihun dan kuetiau goreng juga mendapat sambutan.

Kamaruzaman berkata, empat hidangan panas dalam Menu Rahmah hanya disediakan selama tiga jam setiap hari bermula 12 tengah hari hingga 3 petang, manakala enam lagi hidangan bermula 12 tengah hari hingga 12 malam.

"Selain makan di restoran, kami juga sediakan khidmat penghantaran atau COD," katanya.

Isterinya, Siti Nor Farah Abdul Darawi, 39, berkata walaupun bayaran tambahan dikenakan untuk khidmat COD, ia tetap mendapat sambutan masyarakat.

"Kita pernah menerima tempahan COD sebanyak 1,000 bungkus hidangan Menu Rahmah daripada beberapa penduduk di Tumpat yang jaraknya kira-kira 56 kilometer dari restoran kami, pertengahan bulan lalu.

"Pelanggan yang membuat tempahan menggunakan kaedah COD dikenakan bayaran tambahan bergantung kepada jarak penghantaran," katanya memaklumkan mereka menambah dua lagi hidangan masakan panas dalam Menu Rahmah, iaitu sup ayam dan daging.

Kamaruzaman (kiri) dan pekerjanya menyediakan hidangan dipesan melalui kaedah COD. - NSTP/BAHAROM BAKAR.
Kamaruzaman (kiri) dan pekerjanya menyediakan hidangan dipesan melalui kaedah COD. - NSTP/BAHAROM BAKAR.

Kamaruzaman bersama nasi ayam dan nasi gulai ayam, antara hidangan Menu Rahmah disediakan di restorannya yang mendapat sambutan pelanggan. - NSTP/BAHAROM BAKAR.
Kamaruzaman bersama nasi ayam dan nasi gulai ayam, antara hidangan Menu Rahmah disediakan di restorannya yang mendapat sambutan pelanggan. - NSTP/BAHAROM BAKAR.
Berita Harian X