Isnin, 27 Februari 2023 | 5:32pm
UMNO akan mengguna pakai kaedah pengundian satu bahagian satu undi bagi memilih barisan kepemimpinan baharu pada pemilihan 11 Mac depan untuk peringkat sayap dan 18 Mac bagi tiga jawatan naib presiden dan 25 ahli Majlis Kerja Tertinggi. - NSTP/FOTO HIASAN.
UMNO akan mengguna pakai kaedah pengundian satu bahagian satu undi bagi memilih barisan kepemimpinan baharu pada pemilihan 11 Mac depan untuk peringkat sayap dan 18 Mac bagi tiga jawatan naib presiden dan 25 ahli Majlis Kerja Tertinggi. - NSTP/FOTO HIASAN.

Bagaimana barisan kepemimpinan baharu UMNO dipilih

KUALA LUMPUR: UMNO akan mengguna pakai kaedah pengundian satu bahagian satu undi bagi memilih barisan kepemimpinan baharu pada pemilihan 11 Mac depan untuk peringkat tiga sayap dan 18 Mac bagi tiga jawatan naib presiden dan 25 ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT).

Kaedah itu digunakan sejak pemilihan pada 2013 selepas Perhimpunan Agung Khas UMNO pada Oktober 2009 meluluskan pindaan perlembagaannya dengan memberi hak kepada perwakilan yang bersidang di peringkat bahagian untuk memilih barisan kepemimpinan di peringkat pusat.

Ia sekali gus menghapuskan sistem kuota atau hanya perwakilan yang menghadiri Perhimpunan Agung UMNO (PAU) layak memilih seperti digunapakai pada pemilihan sebelumnya.

Menerusi kaedah satu bahagian satu undi, persidangan perwakilan di 191 bahagian UMNO akan berjalan serentak, dengan mereka yang layak mengundi turut diperluaskan kepada kira-kira 140,000 perwakilan daripada lebih 20,000 cawangan UMNO seluruh negara.

Berdasarkan proses sebelum ini, setiap perwakilan akan dibekalkan tiga set kertas undi, iaitu pemilihan jawatankuasa peringkat bahagian, pemiihan G7 atau tujuh perwakilan bahagian untuk menghadiri PAU serta pemilihan peringkat MKT, termasuk presiden, timbalan presiden, naib presiden dan ahli majlis itu.

Bagi Pemilihan UMNO 2023, khususnya di peringkat pusat, perwakilan yang layak mengundi ketika mesyuarat perwakilan bahagian pada 18 Mac depan, akan memilih pemimpin bagi mengisi tiga jawatan naib presiden serta 25 Ahli MKT UMNO.

Naib presiden adalah jawatan tertinggi dalam UMNO yang dipertandingkan kali ini selepas perhimpunan agung khas parti pada Januari lalu meluluskan usul jawatan presiden dan timbalannya tiada pertandingan.

Calon terpilih mengisi tiga jawatan naib presiden dan 25 ahli MKT yang diperoleh hasil undian perwakilan bahagian, dianggap berjaya memperoleh satu undi dari bahagian terbabit.

Keputusan dari setiap bahagian kemudian dihantar kepada urus setia Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JPU) Pusat untuk dikumpul dan direkod, sebelum ditentukan pemenangnya selepas mengambil kira keputusan undi dari seluruh bahagian yang bersidang.

Kaedah sama juga akan digunakan bagi proses pemilihan sayap UMNO, iaitu Wanita, Pemuda dan Puteri di peringkat bahagian dan pusat yang turut berlangsung serentak pada 11 Mac ini.

Pengerusi JPU Pusat, Tan Sri Shahrir Samad sebelum ini, memaklumkan proses pengundian akan dilakukan di peringkat bahagian dan beliau berharap urus setia yang dilantik bagi mengendalikan proses itu memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Pengerusi JPU bahagian masing-masing.

Berita Harian X