KUALA LUMPUR: Warga Singapura, Brunei, New Zealand serta negara Kumpulan Tujuh (G7) yang berkunjung ke negara ini kini dibenarkan menggunakan sistem pagar automatik (Autogate) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Kemudahan itu yang sebelum ini hanya dikhaskan untuk rakyat Malaysia adalah bagi mengurangkan kesesakan di pintu masuk negara.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata Jabatan Imigresen membenarkan untuk pengembara dari negara berisiko rendah.
"Mengenai kesesakan di pintu masuk, peristiwa berlaku semalam dan kerajaan khususnya Imigresen sangat prihatin mengenai masalah kelambatan di pintu masuk negara khususnya di KLIA. Saya tak ada sindrom penafian dan tak akan bagi alasan.
"Kami akan memaklumkan beberapa langkah misalnya, petang ini saya akan maklumkan pembukaan semua Autogate di KLIA untuk warga asing terutama negara berisiko rendah," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat) sama ada kerajaan menyedari berlaku kesesakan di pintu masuk utama negara semata-mata untuk mengecop pasport.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, pembukaan Autogate itu antara beberapa ikhtiar yang diusahakan pihaknya dalam mengurangkan kesesakan terutama di waktu puncak.
Katanya, ada beberapa usaha lagi sedang direncanakan.
"Dalam masa terdekat kami sedang merencenakan beberapa ikhtiar untuk melegakan (kesesakan) kerana ia bermusim terutama sekarang musim cuti sekolah.
"Saya faham ini memberikan wajah paling awal kepada pintu masuk negara. Saya mengakui masalah itu benar-benar wujud, ikhtiar itu sedang kami usahakan," katanya.
Sementara itu, menjawab soalan Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali (BN-Pekan) mengenai penyelesaian proaktif bagi menangani kesesakan serius di kaunter pengeluaran pasport, Saifuddin berkata, pihaknya mengenal pasti 73 pejabat pengeluaran pasport berdepan masalah berkenaan.
Katanya, kesesakan ketara itu dikesan berlaku di Lembah Klang khususnya di pejabat Imigresen di Jalan Duta, Wangsa Maju, Shah Alam dan Kelana Jaya.
"Pertama, pejabat Imigresen ditambah bilangan hari bekerja kepada tujuh hari seminggu, Sabtu dan Ahad pun kerja khususnya di pejabat pengeluar pasport yang mengalami kesesakan ketara.
"Di Pusat Transformasi Bandar (UTC) pun mereka bekerja pada hari Sabtu dan Ahad. Untuk itu kita keluar belanja 'overtime' sebesar RM10 juta.
"Kedua, kita mengesyorkan permohonan dibuat secara atas talian. Sepanjang tempoh pandemik (COVID-19) sehingga hari ini, kita sudah mengeluarkan hampir 2.5 juta pasport yang mana 45 peratus daripadanya adalah permohonan atas talian," katanya.