Isnin, 27 Februari 2023 | 10:30am
Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir
Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir

Zambry umum tarik diri bersaing jawatan Naib Presiden UMNO

KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, menarik diri dari pencalonannya untuk merebut jawatan Naib Presiden UMNO.

Dalam satu kenyataan, beliau menjelaskan, sudah mengemukakan pencalonan bagi mempertahan jawatan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada pemilihan bulan depan.

"Selepas berbincang dengan kepemimpinan parti, saya mengambil keputusan untuk menarik diri daripada menjadi calon Naib Presiden UMNO bagi pemilihan kali ini.

"Ini dengan mengambil kira tugas rasmi saya sebagai Menteri Luar di dalam kerajaan baru ini, banyak perkara dan urusan hal-hal di luar negara yang perlu diuruskan demi memartabatkan Malaysia di persada antarabangsa" katanya.

Zambry berkata, sebagai Setiausaha Agung BN, beliau perlu memberi keutamaan dalam mengukuhkan hubungan antara parti dalam gabungan itu dengan parti dalam Kerajaan Perpaduan.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada dan setinggi penghargaan kepada sahabat-sahabat di bahagian-bahagian yang sudah menyatakan sokongan kepada saya sebelum ini," katanya.

Susulan keputusan Zambry itu, bermakna saingan merebut jawatan nombor tiga UMNO kini bertumpu kepada tujuh pencalonan termasuk dua penyandang iaitu Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Ketua UMNO Bahagian Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Selain itu, Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani; Ahli Parlimen Simpang Renggam, Datuk Seri Ir Hasni Mohamad; Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said; Ahli MKT, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican serta Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Penentuan bagi jawatan Naib Presiden dan Ahli MKT UMNO akan dibuat pada 18 Mac depan ketika berlangsungnya mesyuarat UMNO bahagian secara serentak di seluruh negara.

Berita Harian X