Ahad, 26 Februari 2023 | 9:36pm

'Saya tidak mahu ada apa-apa alasan lagi daripada majikan''

IPOH: Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar, menegaskan tiada lagi alasan untuk majikan mengelak daripada mematuhi Akta Kerja 1955 (Pindaan 2022) berhubung pengurangan waktu bekerja daripada 48 kepada 45 jam seminggu yang dikuatkuasakan sejak 1 Januari lalu.

Beliau berkata, alasan diberikan majikan yang mengingkari ketetapan akta itu, disifatkan sebagai tidak munasabah berikutan pengumuman berkaitan perkara berkenaan sudah dibuat berkali-kali sejak tahun lalu.

Ia susulan laporan media sebelum ini memetik Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Kamarul Baharin Mansor, mendakwa terdapat majikan yang masih enggan melaksanakan pengurangan waktu bekerja itu kerana belum menerima arahan bertulis daripada Jabatan Tenaga Kerja (JTK), Kementerian Sumber Manusia.

"Sebarang undang-undang yang sudah diluluskan di Parlimen, termasuk pindaan, mesti dipatuhi. Ia semudah itu. Undang-undang sudah ada dan perkara ini (pindaan akta) juga telah diumumkan. Kenyataan media pun sudah dibuat. Malah, kita juga memberi tempoh masa dan tidak menguatkuasakannya serta-merta.

"Saya sendiri telah beberapa kali membuat kenyataan media berhubung perkara ini. Justeru, saya tidak mahu ada apa-apa alasan lagi daripada mana-mana majikan mendakwa tidak tahu mengenai undang-undang yang telah diluluskan di Parlimen," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Pusat Pembangunan Modal Insan Perak di Meru Raya, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Kamarul Baharin dilaporkan mendakwa, terdapat majikan menggunakan pelbagai taktik dan helah untuk menafikan faedah pekerjaan sebagaimana termaktub dalam akta berkenaan.

Pindaan Akta Kerja 1955 sepatutnya berkuat kuasa mulai 1 September 2022 tetapi ditangguhkan kepada 1 Januari lalu, berikutan pihak industri serta majikan sebulat suara memohon penangguhan atas beberapa sebab, termasuk memerlukan masa kerana kebanyakan mereka masih dalam proses pemulihan ekonomi.

Antara kandungan pindaan ditangguhkan itu ialah penambahan cuti bersalin daripada 60 kepada 98 hari, penetapan cuti paterniti tujuh hari, pengurangan waktu kerja mingguan daripada 48 kepada 45 jam, serta aturan kerja fleksibel untuk pekerja.

Pada Disember tahun lalu, Sivakumar dilaporkan berkata, penguatkuasaan pindaan Akta Kerja 1955 akan tetap diteruskan mulai 1 Januari 2023 selepas ia ditangguhkan sebelum itu.

Sivakumar dipetik berkata, ia kerana undang-undang itu sudah diluluskan Parlimen, dan sebahagian besar pindaan yang dibuat adalah berdasarkan Konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).

Sivakumar pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Pusat Pembangunan Modal Insan Perak di Meru Raya, Ipoh, hari ini. - NSTP/L MANIMARAN
Sivakumar pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Pusat Pembangunan Modal Insan Perak di Meru Raya, Ipoh, hari ini. - NSTP/L MANIMARAN
Berita Harian X