SHAH ALAM: Kegiatan pasangan suami isteri bergelar Datuk dan Datin, menjalankan kegiatan sebagai ejen Pembantu Rumah Asing (PRA) secara haram, terbongkar selepas ditahan di sebuah kediaman di sini.
Pasangan terbabit dikesan mendalangi kemasukan wanita warga Indonesia ke negara ini secara menyamar sebagai pelancong dengan menyalah guna Pas Lawatan Sosial (PLS).
Sejurus memasuki negara ini, warga asing terbabit ditempatkan di kediaman pasangan itu sebelum dibekalkan sebagai pembantu rumah dan pekerja pembersihan.
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud, berkata pasangan berusia 56 dan 66 tahun itu ditahan dalam satu operasi penguatkuasaan pada 16 Februari lalu.
Beliau berkata, operasi terbabit dilancarkan hasil daripada maklumat aduan orang awam dan risikan yang dijalankan oleh JIM.
"Turut ditahan bersama mereka seramai 13 wanita, kesemuanya warga Indonesia yang berusia 22 tahun hingga 47 tahun.
"Siasatan awal mendapati mereka masuk ke negara ini secara menyamar sebagai pelancong menggunakan Pas Lawatan Sosial (PLS)," katanya dalam kenyataan hari ini.
Khairul Dzaimee berkata, lokasi serbuan adalah rumah kediaman pasangan itu yang turut dijadikan tempat tinggal warga Indonesia terbabit.
"Warga Indonesia itu akan dibekalkan sebagai pembantu rumah dan juga pekerja pembersihan. Mereka akan dikenakan bayaran antara RM3,500 hingga RM4,500 seorang sebagai bayaran perkhidmatan mengurus kemasukan yang akan dipotong melalui gaji bulanan.
"Pasangan ini dipercayai menjalankan aktiviti mengurus kemasukan dan pembekalan pembantu rumah secara haram bersama-sama ejen yang dikenali dari Indonesia," katanya.
Beliau berkata, mereka disiasat mengikut Seksyen 55E Akta Imigresen kerana disyaki membenarkan mana-mana Pendatang Tanpa Izin (Pati) memasuki atau tinggal di dalam premis yang ia mempunyai kepentingan sebagai penyelia atau menguruskan atau mempunyai kawalan ke atas mana-mana premis itu.
"Manakala kesemua warga asing itu ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan-kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/1963 (Akta 155) dan juga kesalahan di bawah Peraturan-peraturan Imigresen 1963.
"Kes akan turut dirujuk kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Kementerian Sumber Manusia berkait aktiviti pengambilan dan pembekalan pekerja yang dijalankan tanpa lesen yang sah," katanya.