KUANTAN: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menyumbang bantuan wang tunai sebanyak RM6 juta bagi membantu meringankan beban mangsa banjir di Pahang, Johor, Terengganu dan Kelantan.
Sebanyak RM500,000 turut digunakan bagi menyediakan 14 jenis bantuan berupa barangan keperluan, termasuk peralatan pembersihan dan enam unit kit Kifayah yang diagihkan kepada 1,000 mangsa banjir di setiap negeri terbabit.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Mohd Fauzi Abidin, berkata turut sama menyertai misi bantuan kepada mangsa banjir di empat negeri terbabit ialah Pusat Pungutan Zakat (PPZ) Wilayah Persekutuan, Yayasan Taqwa (YT) dan Kolej Institut Profesional Baitulmal (KPBKL).
Katanya, bantuan yang diberikan adalah atas keprihatinan MAIWP kepada mangsa banjir yang mengalami kerugian selepas kediaman mereka ditenggelami banjir berlaku awal tahun ini.
"MAIWP menyediakan 14 jenis barangan untuk diberikan kepada mangsa banjir. Antaranya, tikar, sejadah, telekong, kain pelikat, tuala, periuk nasi, dapur gas dan susu tepung manakala bantuan peralatan diberikan adalah seperti kereta sorong, baldi, pencuci lantai, kasut getah dan plastik sampah," katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Program MAIWP Insani, Misi Bantuan Pada Mangsa Musibah Banjir Pahang di perkarangan Masjid Qariah Jaya Gading, di sini semalam.
Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Datuk Ahmad Hairi Hussain dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman.
Seramai 1,000 mangsa banjir di daerah ini yang berpindah ke 12 pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah ini menerima bantuan berkenaan yang diagihkan semalam dan hari ini.
Mohd Fauzi berkata, pada program kali ini YT Wilayah Persekutuan menyumbang barangan keperluan bernilai RM103,000 dan PPZ (RM63,000).
"MAIWP menyerahkan wang RM1 juta kepada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) untuk diagihkan kepada mangsa banjir di Pahang.
"Ini bukan kali pertama MAIWP memberi bantuan kepada mangsa banjir di Pahang, pada 2010 kita turut memberi bantuan sebanyak RM500,000. Bantuan lain turut pernah diberikan kepada penduduk di Kampung Mat Daling, Jerantut," katanya.