PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu semua timbalan menteri bawah Kerajaan Perpaduan pimpinannya, memfokus kepada pelaksanaan perancangan dan perubahan yang akan memberi manfaat kepada rakyat.
Ia antara amanat disampaikan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, pada program Permukiman Timbalan-Timbalan Menteri Kerajaan Perpaduan 2023 di Seri Perdana, di sini, hari ini, yang dihadiri semua timbalan menteri.
Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching, berkata Perdana Menteri amat fokus kepada prestasi kerajaan pimpinannya serta menegaskan mahu semua timbalan menteri membawa reformasi dalam masa singkat.
"Beliau (Anwar) berpandangan, rakyat tidak sabar lagi dan mereka ingin nampak hasil secepat mungkin. Ini peringatan penting bagi semua yang memegang jawatan supaya memfokus untuk membawa perubahan dalam tempoh singkat," katanya ketika ditemui pemberita selepas program permukiman itu.
Sesi permukiman lebih sejam itu turut disertai Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali, dan Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Dasar), Datuk Johan Mahmood Merican.
Pada sesi permukiman itu, Nie Ching berkata, timbalan-timbalan menteri turut menerima taklimat daripada tokoh penting dalam kerajaan, termasuk Mohd Zuki dan Johan.
"Saya juga amat berbesar hati kerana Perdana Menteri cukup sabar dan menjawab soalan kami (timbalan menteri) sepanjang sesi ini. Banyak isu dibangkitkan timbalan-timbalan menteri pada sesi ini," katanya.
Jabatan Perdana Menteri (JPM) dalam satu kenyataan dikeluarkan sempena program itu berkata, permukiman terbabit dilaksanakan bagi memperkukuh dan memantapkan kesepakatan serta kesepaduan dalam kalangan timbalan-timbalan menteri Kerajaan Perpaduan.
JPM berkata, program itu selaras hasrat Perdana Menteri untuk menterjemahkan agenda islah dan reformasi dalam pentadbiran Kerajaan Perpaduan.
Program permukiman itu diisi dengan sesi taklimat khas mencakupi aspek penting ke arah pemantapan penyampaian perkhidmatan dan pengukuhan tatakelola atau tadbir urus jentera kerajaan.
Aspek itu merangkumi petunjuk prestasi utama (KPI) MADANI Kerajaan Perpaduan, struktur kerajaan dan hal ehwal pentadbiran awam, pengurusan kewangan dan perolehan kerajaan, integriti dan tatakelola organisasi, protokol kerajaan dan profesionalisme, serta komunikasi media. – BERNAMA