JOHOR BAHRU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan menubuhkan sebuah pasukan khas untuk memperhalusi rancangan menganjurkan Bazar Ramadan Rahmah di setiap negeri.
Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub, berkata KPDN akan mengadakan pertemuan dengan empat kementerian berkaitan membabitkan peringkat Ketua Setiausaha, bagi membincangkan perkara itu pada minggu depan.
Kementerian terbabit ialah Kementerian Komunikasi dan Digital; Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi; Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS); serta Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT).
"Saya mendapat makluman, Datuk Bandaraya Ipoh mahu mengadakan Bazar Ramadan Rahmah. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menghubungi saya pada minggu lalu dan telah mengarahkan saya supaya melihat Program Payung Rahmah boleh diperluaskan di Kuala Lumpur.
"Oleh itu semalam, saya membawa secara rasmi ke dalam mesyuarat Kabinet bahawa untuk menyahut kehendak Perdana Menteri, KPDN akan menjadi sekretariat kepada satu 'taskforce' (pasukan khas) yang akan dianggotai lima kementerian, termasuk KPDN.
"Kita akan mengadakan mesyuarat peringkat Ketua Setiausaha untuk membincangkan kertas cadangan. Selepas itu, lima menteri terbabit akan bermesyuarat.
"Saya yakin antara program yang boleh kita buat 'quick win solution' ialah Bazar Ramadan Rahmah. Kita akan memastikan beberapa lokasi untuk rakyat membeli-belah sebelum waktu buka puasa, pada harga berpatutan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Menu Rahmah Restoran Makanan Segera Marrybrown membabitkan lebih 200 cawangan restoran itu, di Marrybrown Paradigm Mall, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Salahuddin berkata pada minggu depan, pihaknya juga akan memuktamadkan perbincangan dengan beberapa pemain industri tekstil berhubung jualan Rahmah Raya.
"Selepas ini semua selesai, saya akan mengadakan sesi libat urus dengan pemain industri besar bagi cadangan Pasar Raya Besar Rahmah pula.
"Saya menghargai pemain industri besar yang bersama-sama menjayakan Menu Rahmah. Saya berfikir mungkin jika ada pemain industri yang berstatus 'billionair', kenapa tidak mereka memikirkan untuk membuka... sebagai contoh projek perintis di Kuala Lumpur, pasar raya besar yang menjual barangan B40," katanya.
Mengenai perkembangan pelaksanaan Menu Rahmah pula, Salahuddin memaklumkan setakat ini, sebanyak 751 premis makanan telah menyertai inisiatif itu di seluruh negara sejak ia dilancarkan pada 31 Januari lalu.
Malah, beliau berkata, Menu Rahmah kini bukan hanya tertumpu kepada nasi dan lauk tetapi juga pelbagai pilihan, termasuk makanan segera.
"Setakat ini, tidak ada aduan formal diterima berhubung Menu Rahmah sehingga memerlukan tindakan, hanya sekadar komentar nakal dalam media sosial," katanya.