Sabtu, 25 Februari 2023 | 1:22pm

KPT kaji perkenal sistem anjal, bantu penuntut IPTA kurangkan pinjaman

PASIR GUDANG: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sedang mengkaji cadangan untuk memperkenalkan sistem anjal di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang membolehkan penuntut menjalani sebahagian pengajian di rumah.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata cadangan itu antara lain bertujuan membantu penuntut mengurangkan pinjaman, khususnya Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) serta kos sara hidup.

"Dengan sistem anjal ini, penuntut boleh belajar di rumah untuk beberapa semester dan kemudian sambung pengajian di universiti, jadi mereka tidak perlulah membuat pinjaman pengajian yang banyak.

"Ketika belajar di rumah, mereka cuma gunakan kemudahan komputer, jadi kos sara hidupnya tiada sebab dia duduk di rumah, tidur di rumah, makan di rumah, buat apa dia buat pinjaman untuk bayar yuran universiti.

"Yuran itu akan kurang kerana di rumah, mereka tidak akan gunakan fasiliti di kampus, dari segi yuran kita boleh perbaiki," katanya pada sidang media selepas merasmikan Biasiswa Perpaduan My Binary, Universiti Binary di

Dewan Muafakat Sierra Perdana, Taman Sierra Perdana di sini, hari ini.

Mohamed Khaled berkata, inisiatif itu diambil selepas mendengar permintaan penuntut IPTA sendiri yang berpendapat pengajian di rumah boleh dilaksanakan memandangkan ia pernah dibuat ketika berdepan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tiga tahun lalu.

Beliau berkata, KPT akan sentiasa memikirkan inisiatif yang membawa kebaikan buat semua penuntut univerisiti.

"Apa yang penting, kita tidak mahu penuntut ini, apabila mereka tamat pengajian, mereka dibebani hutang yang banyak," katanya.

Pada masa sama, Mohamed Khaled berkata, KPT juga sedang mengkaji untuk memendekkan tempoh pengajian dan mewujudkan tabung endowmen dalam usaha yang sama bagi membantu penuntut mengurangkan kos sara hidup.

"Ada sesetengah program nanti kita akan kurangkan daripada empat tahun kepada tiga tahun.

"Kita juga sedang menimbangkan untuk mewujudkan satu tabung bagi membolehkan masyarakat turut sama menyumbang kepada PTPTN untuk membantu penuntut, yang mana penyumbang akan dikecualikan daripada cukai," katanya.

Mengenai pembentangan Belanjawan 2023, Mohamed Khaled berterima kasih kepada kerajaan pusat yang menambah baik peruntukan KPT, berjumlah RM15.3 bilion.

Katanya, peruntukan itu meningkat berbanding RM14.5 bilion tahun lalu, sekali gus menunjukkan komitmen kerajaan dalam memperkasa pendidikan tinggi demi manfaat dan pembangunan masa depan negara.

Mohamed Khaled merasmikan Biasiswa Perpaduan My Binary, Universiti Binary di Dewan Muafakat Sierra Perdana, Taman Sierra Perdana di sini, hari ini.- Foto NSTP/Izz Laily Hussein
Mohamed Khaled merasmikan Biasiswa Perpaduan My Binary, Universiti Binary di Dewan Muafakat Sierra Perdana, Taman Sierra Perdana di sini, hari ini.- Foto NSTP/Izz Laily Hussein
Berita Harian X