PADANG BESAR: Pemerolehan 'body cam' unit kamera badan yang akan digunakan anggota serta petugas agensi penguatkuasaan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan dimuktamadkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam masa terdekat.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata pihaknya kini berada dalam peringkat akhir memuktamadkan pihak kontraktor yang akan mengendalikan pemerolehan aset itu.
"Semalam Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ada umumkan (dalam pembentangan Belanjawan 2023) untuk penambahan 2,100 lagi unit kamera badan di mana sebelum ini kami sudah pun ada bajet sebesar RM30 juta untuk pemerolehan ini.
"Iklan pun sudah dikeluarkan (mencari kontraktor menyelia) untuk pemerolehan kamera badan ini dan ia sekarang berada dalam peringkat akhir penelitian," katanya ketika ditemui selepas melakukan lawatan di sekitar Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Padang Besar, di sini hari ini.
Ditanya bila penggunaan kamera badan oleh anggota polis dan petugas agensi penguatkuasaan akan dilaksanakan, beliau bagaimanapun memaklumkan tiada jangka masa tertentu ditetapkan untuk itu.
Mengulas kelebihan penggunaan kamera badan, katanya, ia penting untuk membantu meningkatkan pelbagai aspek penugasan membabitkan anggota polis dan petugas lain di bawah KDN seperti Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Jabatan Penjara Malaysia.
"Penggunaan kamera badan ini mampu meningkatkan integriti perkhidmatan, malah ia akan menjadi sumber bahan bukti kepada anggota polis dan petugas agensi keselamatan lain.
"Selain itu, penggunaannya juga dapat mengawal manipulasi, meningkatkan kepercayaan orang ramai terhadap setiap penugasan anggota ini. Malah, agensi penguat kuasa itu sendiri berasa lebih yakin dalam melaksanakan tugas secara profesional, jadi banyak faedahnya," katanya.
Terdahulu, Saifuddin yang ditemani Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud dan Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad meninjau status pembinaan laluan pejalan kaki menghubungkan Stesen Kereta Api Padang Besar dengan Kompleks ICQS Padang Besar.
Beliau antara lain menyatakan satu penyelesaian jangka pendek dan panjang sudah dicapai antara pihaknya dengan Kerajaan Negeri Perlis dan Perbadanan Aset Kereta Api (RAC).
"Untuk jangka pendek ia menerusi pembinaan satu laluan berpagar dari tempat turun jejantas ke luar kawasan ICQS yang membolehkan pergerakan orang ramai dengan tidak menjejaskan perkhidmatan dan keselamatan di Kompleks ICQs.
"Penyelesaian jangka panjang pula menerusi pembinaan satu jejantas baru bernilai RM3 juta bagi menghubungkan Stesen Kereta Api Padang Besar dengan laluan menghala ke Arked Niaga Padang Besar," katanya.