JOHOR BAHRU: Ketua Setiausaha Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Azman Mohd Yusof, diarahkan mengetuai pasukan bertindak khas bagi menangani isu ketirisan subsidi diesel hampir RM10 bilion yang diseleweng, tahun lalu.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub, berkata beliau sudah mengarahkan Ketua Setiausaha (KSU) KPDN mengetuai pasukan bertindak itu sejak bulan lalu dan meminta segera bertindak mengekang ketirisan subsidi diesel daripada terus berlaku.
"KSU sejak sebulan lalu bersama Pengarah Penguatkuasaan KPDN, Datuk Azman Adam, meronda dan melihat logistik di semua poin-poin penting, khususnya di kawasan pedalaman termasuk Sabah serta Sarawak.
"Kita khuatir di situlah banyak berlaku ketirisan diesel, termasuk di pangkalan-pangkalan nelayan. Jadi penguakuasaan itu adalah sesuatu yang penting," katanya selepas menyampaikan bantuan kembali ke sekolah Parlimen Pulau di sini, hari ini.
Salahuddin berkata, kementerian itu mempunyai 2,100 anggota penguat kuasa yang akan bertindak meminimumkan ketirisan diesel di seluruh negara.
"Sepanjang tempoh tahun lalu, sudah banyak tangkapan dibuat menerusi operasi dijalankan, termasuk Ops Terjah pada Disember lalu," katanya.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2023 dilaporkan berkata, wujud ketirisan dalam subsidi diesel dengan anggaran hampir RM10 bilion nilai subsidi diesel diseleweng pada tahun lalu.
Ditanya sama ada KPDN akan mengetatkan prosedur mendapatkan subsidi diesel, Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Pulai berkata, kementeriannya akan meneliti semula data ketirisan diesel dengan lebih terperinci sebelum membuat keputusan lanjut.
"Data itu (ketirisan diesel) kita perlu teliti dan periksa untuk dikemaskini terlebih dulu.
"Sebarang langkah lanjut memerlukan kerjasama dengan kementerian lain terutama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS)
yang memberi diesel kepada nelayan," katanya.