KUALA LUMPUR: Peningkatan peruntukan untuk sektor kesihatan tahun ini disifatkan sebagai mencukupi bagi membantu rakyat ketika negara masih bangkit daripada kekangan ekonomi susulan pandemik.
Presiden Persatuan Hospital Swasta (APHM), Datuk Dr Kuljit Singh, berkata pihaknya berasakan peningkatan peruntukan sektor kesihatan daripada RM32.4 bilion ke RM36.3 bilion tahun ini dilihat amat menggalakkan biarpun ia tidak mencecah sebanyak lima peratus peruntukan seperti dimohon sebelum ini.
Beliau berkata, perkara paling penting dalam Belanjawan 2023 yang dibentangkan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, petang tadi adalah pelaksanaannya.
"Ia berikutan ketika ini ramai pesakit yang menunggu rawatan di Jabatan Kecemasan hospital awam, wad dan di rumah.
"Kami berharap supaya pelaksanaannya dapat disegerakan memandangkan belanjawan ini adalah untuk tahun ini.
"Semua agensi kerajaan tidak seharusnya berlengah dalam proses mereka kerana ramai rakyat kita menghidap pelbagai jenis penyakit," katanya ketika mengulas mengenai peruntukan untuk sektor kesihatan negara dalam Belanjawan 2023.
Dr Kuljit berkata, pusat perubatan swasta bersedia membantu sektor kesihatan awam, termasuk berunding mengenai bayaran balik yang munasabah untuk menjadikan penyumberan luar yang mampan sepanjang tahun.
Katanya, ketika pembentangan belanjawan petang tadi, Perdana Menteri secara khusus mengumumkan peruntukan bagi tujuan menyumberluaran pesakit ke Hospital Tentera dan Hospital Swasta.
"Pusat perubatan swasta terbukti berjaya menguruskan ramai pesakit yang disumberluarkan sepanjang pandemik COVID-19.
"Pun begitu, ia bergantung kepada kapasiti terkini pusat perubatan swasta yang ketika ini juga melebihi kapasiti.
"Pembinaan lebih banyak infrastruktur adalah bagus dalam sektor kesihatan awam, namun aspek penting yang perlu diberi perhatian adalah pembangunan dan pengekalan sumber manusia.
"Belanjawan itu seharusnya menangani keperluan khusus imbuhan dan latihan dalam penjagaan kesihatan awam," katanya.