SHAH ALAM: Bekalan ayam dijangka berkurangan menjelang Aidilfitri kerana sebahagian besar penjual kecil-kecilan tidak lagi mampu membeli bekalan daripada pemborong dengan harga tinggi.
Jika harga bekalan dari pemborong terus tinggi, Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin), Datuk Ameer Ali Mydin, menjangka penjual kecil akan gulung tikar dan ini mengakibatkan orang ramai sukar ayam segar di pasar awam.
Pada masa kini, katanya, pemborong membekal ayam pada harga antara RM9 hingga RM9.12 sekilogram kepada penjual.
"Kerajaan masih lagi menetapkan harga kawalan ke atas ayam pada peringkat peniaga, iaitu RM 9.40 sekilogram.
"Bagaimana peniaga ini hendak mendapat keuntungan. Takkan peniaga ini hendak jual RM9.40 sekilogram juga?
"Kalau pasar raya besar, kita tanggung. Tetapi bagaimana dengan peniaga kecil? Jadi, saya harap kerajaan perlu lihat perkara ini semula," katanya,
Terdahulu, beliau menyerahkan simbolik sumbangan 5,000 pek makanan Menu Rahmah dari Mydin kepada pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM), di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM, Prof Emeritus Datuk Dr Raduan Che Ros dan Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Dr Roziah Mohd Janor.
Ameer berkata, sumbangan itu untuk di lima kampus iaitu UiTM Shah Alam, UiTM Merbok (Kedah), UiTM Alor Gajah (Melaka) dan UiTM Jengka (Pahang) dan UiTM Samarahan (Sarawak).
"Pek Makanan Menu Rahmah yang disumbangkan ialah nasi putih, lauk utama, sayur dan air minuman akan bermula pada bulan hadapan," katanya.
Sementara itu, Raduan berkata, UiTM berharap lebih banyak syarikat mengambil inisiatif sama seperti Mydin.
"Mydin memberi contoh bagaimana sebuah syarikat yang mempunyai aspirasi membantu pelajar yang memerlukan.
"Mereka menunjukkan contoh baik kepada semua syarikat," katanya.