Jumaat, 24 Februari 2023 | 3:03pm
Libat urus bagi membincangkan perubahan undang-undang terbabit mengikut keadaan semasa. - Foto hiasan NSTP
Libat urus bagi membincangkan perubahan undang-undang terbabit mengikut keadaan semasa. - Foto hiasan NSTP

Libat urus tambah baik SOSMA

KUALA LUMPUR: Kerajaan mengadakan sesi libat urus pertama dengan beberapa pihak berkepentingan untuk menambah baik Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (SOSMA) 2012, hari ini.

Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh, berkata langkah itu bagi membincangkan perubahan undang-undang terbabit mengikut keadaan semasa.

Katanya, sesi libat urus pertama hari ini diadakan bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pertubuhan masyarakat sivil serta badan-badan hak asasi manusia.

"Antara pihak berkepentingan itu ialah Suara Rakyat Malaysia (SUARAM), Malaysian Centre for Constitutionalism and Human Rights dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM).

"Turut sama, Institute of Strategic and International Studies (ISIS) Malaysia dan juga Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia.

"Pelbagai pandangan diutarakan dan dibincangkan untuk dikaji secara lebih lanjut," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, sesi libat urus seterusnya akan diadakan dalam masa terdekat membabitkan pihak berkepentingan seperti Kementerian Dalam Negeri, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Ahli Parlimen serta ahli akademik.

Sesi itu akan turut disertai Badan Peguam Malaysia, Sabah Law Society, Advocates Association of Sarawak, tahanan dan bekas tahanan mengikut SOSMA 2012 serta keluarga mereka.

"Perkara ini selaras dengan kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail di Dewan Rakyat pada 22 Februari lalu bahawa undang-undang tidak statik dan bersifat dinamik.

"Ia sentiasa berubah dengan keadaan dan masa. Sehubungan itu, kerajaan komited dalam menambah baik SOSMA 2012 mengikut keadaan semasa," katanya.

Berita Harian X