BALING: "Saya dengar dengan jelas suara anak menjerit: 'Ayah tolong, sakit...panas...' lalu cuba menendang pintu bilik tetapi tidak berjaya, sebelum keluar menyelamatkan diri. Sampai sekarang saya masih terdengar-dengar suara anak menjerit minta tolong, sedih tidak dapat selamatkan anak."
Sebak Rozali Nayan, 55, kongsikan detik cemas yang mengorbankan anaknya, Nur Batrisyia Rozali, 14, dalam insiden kebakaran rumah mereka di Kampung Besah, Kuala Ketil, di sini, hari ini.
Kejadian kira-kira jam 7 pagi itu berlaku ketika Rozali bersama isteri, Norsakinah Shuib, 33, dan Nur Batrisyia sedang tidur. Norsakinah yang juga ibu tiri Nur Batrisyia terhidu asap sebelum menyedari rumah mereka sedang terbakar lalu mengejutkan suami dan Nur Batrisyia.
Dalam keadaan kelam-kabut itu, Rozali cuba menyelamatkan anaknya dengan menendang pintu bilik tetapi gagal sebelum meminta tolong jiran.
"Saya amat sedih kerana sudah berusaha menyelamatkan anak tetapi tidak berdaya berikutan api merebak dengan cepat. Pasukan bomba sampai tidak lama kemudian dan selepas api berjaya dipadamkan, barulah jasad anak ditemukan.
"Barang-barang di dalam rumah habis musnah dan tidak dapat diselamatkan. Kami kini tinggal sehelai sepinggang," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat, berkata mayat remaja perempuan itu ditemukan dalam keadaan terlentang dan terbakar sepenuhnya, kira-kira jam 9.40 pagi oleh pasukan bomba.
Beliau berkata, mayat mangsa kemudian dibawa ke Jabatan Forensik, Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar, untuk bedah siasat.
"Kebakaran itu membabitkan sebuah rumah dua tingkat separuh kayu dan separuh batu yang didiami tiga orang, iaitu remaja terbabit bersama bapa dan ibu tirinya. Bapa mangsa cuba menendang pintu bilik mangsa, namun gagal kerana ia berkunci dari dalam.
"Mangsa (si mati) dipercayai berada di tingkat tetapi terjatuh ke tingkat bawah selepas api marak," katanya dalam satu kenyataan.