Jumaat, 24 Februari 2023 | 1:28pm

Noraini pertahan jawatan Ketua Wanita UMNO, bakal bertemu Shahrizat

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr Noraini Ahmad mengesahkan pencalonannya untuk mempertahan jawatan Ketua Wanita UMNO dalam pemilihan UMNO bulan depan.

Ahli Parlimen Parit Sulong itu mengemukakan borang pencalonannya di Auditorium UMNO di Menara Dato' Onn hari ini, sekali gus akan bersaing dengan bekas Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil untuk jawatan teraju sayap parti itu.

Noraini berkata, beliau mengharapkan perwakilan Wanita UMNO dapat memberikan peluang sekali lagi kepada dirinya bagi menerajui Ketua Wanita UMNO.

"Dalam wanita susah senang kita bersama, kerana itu Wanita UMNO adalah wanita yang luar biasa.

"Apa yang diharapkan pada 11 Mac nanti, perwakilan terutamanya dalam Wanita UMNO dapat memilih dan menilai secara bijak," katanya dipetik menerusi portal UMNO Online hari ini.

Katanya, beliau terbuka dengan saingan bakal dihadapi, sekali gus menunjukkan UMNO mengamalkan demokrasi dalam menentukan barisan kepemimpinan parti.

"Kita mengalu-alukan proses demokrasi di dalam UMNO ini dan sememangnya tidak ada halangan sesiapa yang menawarkan diri untuk apa-apa jawatan pun termasuk juga dalam Wanita UMNO," katanya lagi.

Terdahulu, Shahrizat mengesahkan pencalonannya bagi bersaing dalam jawatan pernah disandangnya sebelum ini, selepas mendakwa mendapat gesaan dari kalangan pemimpin wanita akar umbi.

Pemilihan sayap UMNO itu akan berlangsung pada 11 Mac ini ketika Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Wanita, Pemuda serta Puteri Bahagian, yang diadakan serentak di seluruh negara.

Pada tarikh berkenaan, turut diadakan Pemilihan EXCO Wanita, Pemuda dan Puteri peringkat Pusat.

Pemilihan UMNO dijadual berakhir pada 18 Mac 2023 dengan berlangsungnya Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa UMNO Bahagian bersama Pemilihan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.

Berita Harian X