KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, hari ini mengesahkan bertanding merebut jawatan Naib Presiden UMNO pada pemilihan parti itu.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa, menghantar borang pencalonannya di Auditorium UMNO di Menara Dato' Onn pagi ini.
Johari adalah pemimpin parti keempat yang menyerahkan borang pencalonan bagi merebut tiga jawatan tertinggi UMNO itu, dengan tempoh pencalonan juga masih dibuka sehingga Ahad ini.
Sebelum ini, penyandang Naib Presiden iaitu Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Datuk Seri Mahdzir Khalid sudah menyerahkan borang pencalonan bagi mempertahankan jawatan masing-masing.
Selain itu, Ahli MKT, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican turut menghantar pencalonannya bagi jawatan sama.
Saingan bagi jawatan Naib Presiden UMNO menjadi tumpuan pada pemilihan UMNO kali ini, selepas dua jawatan utama, Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan.
Selain empat pemimpin UMNO itu, turut dikhabarkan dijangka mengemukakan pencalonan bagi jawatan Naib Presiden, Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said dan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.
Selain itu, Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah dan Ahli Parlimen Simpang Renggam, Datuk Seri Ir Hasni Mohamad, juga dikatakan mengintai peluang sama.
Selepas Khaled dan Mahdzir mengesahkan mempertahankan jawatan, kini hanya tinggal Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang juga bekas Perdana Menteri belum memutuskan sebarang pendiriannya mengenai kedudukan jawatannya.