Khamis, 23 Februari 2023 | 9:07pm
Perkhidmatan LRT di antara Stesen Sentul Timur dan Stesen Bandaraya kini akan beroperasi dengan kekerapan setiap 12 minit. - Foto fail NSTP
Perkhidmatan LRT di antara Stesen Sentul Timur dan Stesen Bandaraya kini akan beroperasi dengan kekerapan setiap 12 minit. - Foto fail NSTP

Kekerapan LRT antara Stesen Sentul Timur dan Bandaraya dikurangkan

KUALA LUMPUR: Perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) di antara Stesen Sentul Timur dan Stesen Bandaraya kini akan beroperasi dengan kekerapan setiap 12 minit.

Ia berikutan beberapa tren terpaksa dikeluarkan daripada perkhidmatan atas faktor keselamatan.

Rapid Rail Sdn Bhd, berkata sejak 27 Januari lalu lima tren digunakan di antara stesen berkenaan.

"Disebabkan kerosakan struktur dan landasan berhampiran stesen Bandaraya, tren-tren terbabit tidak dapat kembali ke depoh LRT di Ampang untuk kerja penyelenggaraan.

"Tiga daripada lima tren itu terpaksa dikeluarkan kerana tidak lagi memenuhi kriteria operasi dan kini jumlah tren yang dapat beroperasi sebanyak dua saja," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, bagi menampung dan mengendalikan penumpang yang terjejas, perkhidmatan bas perantara (LRT11) di antara stesen Sentul Timur dan Stesen Bandaraya diaktifkan bermula waktu puncak petang tadi.

"Sepuluh bas akan digunakan bagi perkhidmatan ini.

"Perkhidmatan bas perantara LRT11 ini akan berhenti di stesen Sentul Timur, Sentul, Titiwangsa, PWTC, Sultan Ismail dan Bandaraya dan perjalanan sehala menaiki bas perantara dari Sentul Timur ke Bandaraya pula dijangka mengambil masa selama 30 minit," katanya.

Menurut kenyataan itu, bagi mengawal pergerakan penumpang di stesen dan platform, anggota operasi rel, anggota Polis Bantuan dan Troopers akan ditempatkan di stesen yang terbabit.

"Rapid Rail Sdn Bhd memahami kesukaran yang dihadapi oleh penumpang dan memohon maaf di atas segala kesulitan. Kesabaran penumpang amat kami hargai," katanya.

Berita Harian X