KUALA LUMPUR: Seorang suri rumah B40 dapat berjimat sehingga RM24 apabila membeli 12 barangan asas di sebuah pasar raya yang menyertai inisiatif di bawah Payung Rahmah, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub.
Menggulung usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di Dewan Rakyat hari ini, beliau berkata, dapatan itu kajian Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) dan beberapa universiti.
Walaupun di bawah Payung Rahmah yang menawarkan harga murah serendah RM5, beliau berkata, pendekatan itu tidak merugikan peniaga, sebaliknya memberi manfaat dan rahmat berganda.
"Sekiranya seorang suri rumah sebagai contoh daripada golongan B40, pergi ke Pasaraya Econsave yang menawarkan harga Rahmah ini, 12 barangan yang dibuat kajian, kalau dibeli di tempat atau pasar raya yang menawarkan Jualan Rahmah ini, mereka boleh berjimat sehingga RM24 sekali berbelanja.
"RM24 bagi B40 sangat membantu dan mereka dapat rasa. Econsave dua minggu lalu mengeluarkan kenyataan rasmi daripada pihak penjualan mereka dan menyatakan bahawa dengan Jualan Rahmah itu, jualan mereka meningkat sehingga 30 peratus," katanya.
Mengulas kesan berganda pendekatan seperti Jualan Rahmah, Salahuddin berkata, walaupun ada persepsi bahawa barang pada harga RM5 tidak berkualiti, ia tidak betul, sebaliknya ia mencetuskan 'gelombang' orang ramai berkunjung ke premis berkenaan.
Memberi contoh Pasaraya Besar Mydin, beliau berkata, syarikat berkenaan menerima kesan berganda daripada pelaksanaan Jualan Rahmah di premis mereka.
"Akhirnya kita dapat satu pendekatan baharu bahawa dengan cara mereka melakukan (jualan) Rahmah ini, mereka gelarkan 'crowd puller', maknanya boleh mengambil dan menggamit lebih ramai pelanggan ke pusat perniagaan mereka.
"Mydin sebagai contoh, banyak lot (premis) mereka ada Jualan Rahmah, jadi 'multiply effect' (kesan berganda) telah berlaku. Orang datang tak hanya makan menu RM5, tetapi pada masa sama akan membeli barang lain di tempat sama, menyebabkan situasi menang-menang itu berlaku.
"Alhamdulillah dengan Menu Rahmah RM5 sebenarnya adalah sesuatu yang besar maknanya kepada rakyat. Menu Rahmah itu adalah satu hidangan premium," katanya.
Mengenai pemilihan nama Menu Rahmah, Salahuddin menjelaskan, pihaknya tidak mahu menggunakan istilah 'Menu B40' kerana mahu hidangan itu dinikmati semua golongan.
Selain itu, katanya, ia juga untuk menjaga 'air muka' golongan B40 bahawa hidangan di bawah inisiatif itu tidak dianggap 'menu orang miskin'.