Rabu, 22 Februari 2023 | 7:07pm

KPDN perkenal Bazar Ramadan Rahmah

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan memperkenalkan kadar sewa ruang niaga berkonsep 'Rahmah' bagi setiap tapak di bazar Ramadan yang akan dianjurkan sepanjang bulan puasa bermula hujung bulan depan.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub, berkata pihak kementerian akan mengadakan sesi libat urus bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) dan penggiat industri bagi merancang penganjuran Bazar Ramadan Rahmah berkenaan.

Katanya, beberapa lokasi strategik sudah dikenal pasti dan pihaknya bersama PBT bakal memperkenalkan kadar sewa Rahmah bagi setiap tapak di bazar berkenaan dengan perkembangan itu akan diumumkan dalam tempoh terdekat.

"Fokus kita adalah Bazar Ramadan dan perbincangan akan diadakan bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan pemain industri yang berminat menyertainya," katanya ketika ditemui pemberita, hari ini.

Beliau sebelum itu melancarkan Inisiatif Payung Rahmah dan Cabaran 'Beli & Menang RM1.1 juta' di sebuah pasar mini di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Bandar Tasik Selatan, di sini.

Sementara itu, Salahuddin berkata, pihaknya bersedia menjadi pemudahcara bagi mana-mana pemain industri yang belum atau sukar mendapatkan permit atau lesen perniagaan.

"Kita terbuka kepada mana-mana peniaga untuk mengetengahkan perkara ini kepada mana-mana wakil kementerian supaya kita dapat bantu mereka selesaikan masalah berkenaan," katanya.

Merujuk majlis pelancaran hari ini, beliau berkata, Jualan Rahmah di KK Super Mart akan dikembangkan kepada inisiatif lain yang bersesuaian dari semasa ke semasa.

Inisiatif terbabit seperti Bakul Rahmah, Pakej Rahmah dan Menu Rahmah, sebagai tanda sokongan pihak pengurusan KK Supermart & Superstore Sdn Bhd ke atas inisiatif menangani kos sara hidup yang sedang diterajui KPDN.

Datuk Seri Salahuddin Ayub menyampaikan ucapan pada Majlis Pelancaran Inisiatif Payung Rahmah di Terminal Bersepadu Selatan, Kuala Lumpur, hari ini. - BERNAMA
Datuk Seri Salahuddin Ayub menyampaikan ucapan pada Majlis Pelancaran Inisiatif Payung Rahmah di Terminal Bersepadu Selatan, Kuala Lumpur, hari ini. - BERNAMA
Berita Harian X