Rabu, 22 Februari 2023 | 2:21pm
Presiden PEJUANG, Mukhriz Mahathir dikatakan cuba bermain dua kolam apabila minta kerusi daripada PH dan PN sebagai talian hayat politiknya. - Foto fail NSTP/Luqman Hakim Zubir
Presiden PEJUANG, Mukhriz Mahathir dikatakan cuba bermain dua kolam apabila minta kerusi daripada PH dan PN sebagai talian hayat politiknya. - Foto fail NSTP/Luqman Hakim Zubir

'Mukhriz cuba main dua kolam, minta kerusi daripada PN, PH untuk PRN'

KUALA LUMPUR: Presiden Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), Datuk Seri Mukhriz Mahathir dikatakan meminta Perikatan Nasional (PN) memperuntukkan sejumlah kerusi kepada parti itu dalam pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Sumber PN Kedah yang rapat dengan Mukhriz memaklumkan, itu antara intipati pertemuan antara bekas Menteri Kedah itu dengan lima kepimpinan tertinggi PAS baru-baru ini.

Menurut sumber yang juga EXCO kerajaan negeri Kedah, Mukhriz menyatakan hasrat untuk PEJUANG menjalin kerjasama dengan PN dalam PRN Kedah, dengan harapan kerjasama itu menjadi talian hayat untuk Mukhriz mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jitra.

Difahamkan, Mukhriz memohon sekurang-kurangnya dua kerusi diperuntukkan kepada PEJUANG sekiranya kerjasama itu menjadi kenyataan, iaitu kerusi DUN Jitra yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), dan DUN Anak Bukit yang disandang wakil PEJUANG, Datuk Amiruddin Hamzah.

"Ketika bertemu lima pemimpin tertinggi PAS baru-baru ini, Mukhriz menyatakan hasrat untuk bekerjasama dengan PN dan mahu diperuntukkan beberapa kerusi kepada PEJUANG.

"Dalam pertemuan itu, pimpinan PAS tidak memberi sebarang kata putus kerana perbincangan masih di peringkat permulaan.

"Namun, tindakan Mukhriz yang turut mengadakan pertemuan dan menyatakan minat bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH), memperlihatkan beliau cuba bermain dua kolam untuk pertahankan kerusinya," katanya kepada BH, hari ini.

Ahad lalu, Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengesahkan berlaku pertemuan antara Mukhriz bersama kepemimpinan tertinggi PAS baru-baru ini.

Menteri Besar Kedah itu dilaporkan berkata, intipati perbincangan antara dua pihak bagaimanapun belum didedahkan setakat ini memandangkan perbincangan itu hanya membabitkan lima kepemimpinan tertinggi parti bersama Mukhriz.

BH hari ini melaporkan Pengerusi PH Kedah, Datuk Mahfuz Omar turut mengesahkan Mukhriz ada bertemunya di ibu negara kira-kira dua bulan lalu bagi membincangkan mengenai ruang kerjasama antara PEJUANG dan PH bagi menghadapi PRN Kedah.

Namun, Mahfuz menyarankan Mukhriz bertemu secara terus dengan Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana isu mengenai kerjasama dalam PRN hanya boleh diputuskan oleh Majlis Presiden PH.

Berita Harian X