Rabu, 22 Februari 2023 | 1:58pm
Tan Sri Muhyiddin Yassin
Tan Sri Muhyiddin Yassin

BERSATU terima peletakan jawatan Wan Saiful

KUALA LUMPUR: Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan peletakan jawatan Datuk Wan Saiful Wan Jan selaku Ketua Penerangan parti, berkuat kuasa hari ini.

Beliau dimaklumkan perkara itu ketika berjumpa Wan Saiful yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor pagi tadi.

Bagaimanapun katanya satu surat peletakan jawatan rasmi akan dihantar kepadanya hari ini.

"Saya sudah menerima peletakan jawatan Ketua Penerangan berkuat kuasa hari ini oleh Wan Saiful ketika berjumpa pagi tadi.

"Beliau akan hantar surat (peletakan jawatan) hari ini, Insya-Allah," katanya pada sidang media selepas pelancaran Misi dan Dana Bantuan Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) - Gempa Bumi Turkiye dan Syria di Parlimen hari ini.

Yang turut hadir Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man; Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Mengulas tindakan Wan Saiful, Muhyiddin memuji sikap Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu sebagai satu langkah bertanggungjawab.

Sehubungan itu, beliau berkata langkah itu sekali gus menggambarkan satu standard daripada BERSATU apabila ahlinya berdepan tuduhan mahkamah.

"Ini satu set standard kita nak tunjukkan bahawa dia berdepan tuduhan supaya tidak menimbulkan salah pandangan terhadap BERSATU. Beliau sendiri mengatakan 'saya meletak jawatan'.

"Jadi satu langkah yang cukup saya hargai tetapi tanggungjawab ini akan terus dipimpin ahli MPT lain yang akan dipilih dalam tempoh segera.

"Ini kerana tugas ketua penerangan penting kerana kita nak menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN). Jadi kita akan teruskan kerja-kerja baik yang dibuat Wan Saiful," katanya.

Dengan pendekatan sebegitu, Muhyiddin turut berharap ia dapat menangkis pandangan negatif terhadap parti.

Jelasnya, ia bukan menghukum sebaliknya tindakan Wan Saiful itu adalah secara sukarela.

"Kita harap langkah kita ambil ini akan memudahkan dan tidak akan timbul pandangan negatif terhadap kita. Ini satu sifat cukup mulia dan saya sanjung supaya kita berdepan dengan bermaruah," katanya.

Terdahulu Wan Saiful mengumumkan hasratnya untuk melepaskan jawatan sebagai Ketua Penerangan BERSATU susulan pendakwaan dikenakan terhadapnya semalam.

Beliau berkata hasrat itu sudah dimaklumkan kepada Muhyiddin dan Setiausaha Agung, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan terpulang kepada Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) untuk membuat keputusan.

Katanya, tindakan itu dibuat bagi memberi tumpuan untuk membersihkan namanya terlebih dahulu yang menjadi prinsip selama ini.

Berita Harian X