Rabu, 22 Februari 2023 | 12:47pm

Tiga kes penderaan di pusat jagaan kanak-kanak dalam tempoh 2 tahun

KUALA LUMPUR: Hanya tiga kes penderaan direkodkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di pusat jagaan kanak-kanak yang berdaftar bagi tempoh dua tahun hingga Disember lalu.

Pusat jagaan kanak-kanak, adalah premis yang menyediakan penjagaan dan perlindungan kepada golongan itu di bawah usia 18 tahun, dan didaftarkan mengikut Akta 506 di mana mereka tinggal di situ.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata secara keseluruhan terdapat 1,248 pusat jagaan kanak-kanak berdaftar mengikut Akta Pusat Jagaan 1993 (Akta 506).

"Namun KPWKM (Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat) tetap memandang serius sebarang kes penderaan di pusat jagaan kanak-kanak," katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, di sini.

Pusat jagaan kanak-kanak adalah berbeza dengan Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) di mana ia didaftarkan di bawah Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 dan memberi perkhidmatan kepada kanak-kanak berusia di bawah empat tahun.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Fong Kui Lun (PH-Bukit Bintang) yang meminta KPWKM menyatakan tindakan tegas berhubung kes penderaan kanak-kanak yang semakin serius di pusat jagaan kanak-kanak di seluruh negara.

Pada masa sama, Nancy berkata, antara usaha dan tindakan yang dilaksanakan JKM bagi memastikan pusat jagaan yang berdaftar sentiasa mematuhi akta dan peraturan yang ditetapkan ialah pemantauan, pemeriksaan berkala dan mengejut dilaksanakan pegawai diberi kuasa pusat jagaan ke premis pusat jagaan yang berdaftar.

Beliau berkata, JKM turut memperkasakan tindakan penguatkuasaan ke atas pusat jagaan yang melanggar akta dan peraturan di bawahnya, serta mengadakan program kesedaran masyarakat supaya menjadi mata dan telinga jabatan bagi melaporkan kesalahan.

"Tindakan penguatkuasaan juga termasuk menutup pusat jagaan dan mengeluarkan kompaun selain proses baharu dengan mengedarkan garis panduan baharu untuk menguatkan penguatkuasaan.

"Penguatkuasaan berdasarkan Akta 506 juga boleh diambil terhadap pusat jagaan yang tidak berdaftar di mana berdasarkan kepada peruntukan undang-undang itu, JKM melaksanakan penguatkuasaan dan pemeriksaan ke premis bagi memastikan pengendali mematuhi peruntukan akta dan peraturan yang berkaitan," katanya.

Menjawab soalan tambahan Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) mengenai kanak-kanak yang betul layak diletakkan di pusat jagaan kanak-kanak, Nancy berkata, usaha penambahbaikan dibuat melalui pindaan akta kanak-kanak pada 2016.

Beliau berkata, melalui pindaan itu, ia menambah baik konsep penjagaan kanak-kanak dengan meletakkan golongan yang memerlukan itu kepada orang yang layak dan sesuai berbanding di institusi, bagi memastikan mereka membesar dalam suasana kekeluargaan.

Datuk Seri Nancy Shukri ketika sesi soal jawab lisan pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto BERNAMA
Datuk Seri Nancy Shukri ketika sesi soal jawab lisan pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto BERNAMA
Berita Harian X