Rabu, 22 Februari 2023 | 11:21am

Guru dididik tidak pengaruhi murid condong ideologi politik

KUALA LUMPUR: Guru dididik dengan integriti dan bersikap objektif dalam melaksanakan pengajaran dan pembelajaran (PdP) mengenai topik politik dan pilihan raya melalui mata pelajaran seperti Sejarah.

Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying, berkata atas dasar itu, Kementerian Pendidikan (KPM) yakin guru tidak akan mempengaruhi murid bagi menyokong parti politik tertentu.

"Dari segi persoalan guru sama ada akan mempengaruhi, jawapan kami memang tidak, kami ada keyakinan terhadap guru. Pada PdP Sejarah, tugas guru mengajar apa sahaja topik secara objektif termasuklah pilihan raya.

"Guru kita dididik dengan integriti dan bersikap objektif yang tidak mungkin mempengaruhi murid dari segi fahaman politik," katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, di sini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng (BN-Tanjung Piai) yang ingin tahu apakah langkah bagi memastikan seseorang guru tidak menjadikan medan PdP bagi mempengaruhi minda pelajar dengan sentimen tertentu supaya cenderung undi parti tertentu sahaja.

Pada masa sama, Hui Ying berkata, guru turut disediakan bahan sokongan seperti program PowerPoint untuk mengajar topik mengenai pilihan raya kepada murid.

Beliau berkata, kandungan yang berkaitan pilihan raya dimasukkan secara khusus dalam mata pelajaran Sejarah dan elemen berkaitan pilihan raya dilaksanakan dalam pendidikan sivik serta aktiviti kokurikulum.

"Sebagai usaha membentuk karakter murid menjadi warganegara yang bertanggungjawab dan cinta akan negara, bermula dari sekolah rendah, murid diajar mengenai Perlembagaan Persekutuan dan tanggungjawab rakyat kepada negara.

"Ini termasuk latar belakang pengetahuan asas sejarah negara melalui tema 'Sejarah Awal Negara, Kedaulatan Negara dan Kemakmuran Negara Kita.

"Selaras dengan kematangan usia dan tahap pengetahuan, murid sekolah menengah didedahkan dengan lebih mendalam mengenai politik melalui tema 'Sejarah Kita dan Dunia, Warisan Bangsa, Kedatangan Kuasa Asing, Pembinaan Negara serta Malaysia dan Masa Hadapan'," katanya.

Beliau berkata, bagi memupuk kesedaran politik melalui aktiviti kokurikulum pula, KPM menjalin kerjasama dengan Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen), bagi melaksanakan pelbagai aktiviti patriotisme melalui Kelab Malaysiaku.

Sehubungan itu, katanya KPM berpandangan pelaksanaan kandungan kurikulum dan aktiviti kokurikulum sedia ada membolehkan murid memperoleh pengetahuan, pemahaman serta penghayatan mengenai pendidikan politik dan Perlembagaan Persekutuan.

"KPM yakin bahawa pengetahuan dan penghayatan itu boleh diaplikasikan dalam kehidupan harian serta dapat mempersiapkan murid untuk melaksanakan hak dan tanggungjawab mereka kepada negara," katanya.

Berita Harian X