Rabu, 22 Februari 2023 | 8:47am
 Foto AFP
Foto AFP

Lebih 10,000 belia positif dadah tahun lalu

KUALA LUMPUR: Seramai 10,074 belia berusia 19 hingga 39 tahun yang ditahan tahun lalu positif pelbagai jenis dadah, meningkat berbanding 8,935 individu tahun sebelumnya.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata penahanan berkenaan dilaksanakan melalui penguatkuasaan Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

Katanya, kementerian melalui Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) sentiasa memandang serius isu penyalahgunaan dan penagihan dadah serta giat melaksanakan pelbagai program bagi membendung masalah itu.

"Pelbagai pendekatan diambil kerajaan bagi mengurangkan permintaan dadah melalui program pendidikan pencegahan.

"AADK melaksanakan program pencegahan melalui model i-cegah, meliputi pelaksanaan aktiviti pendidikan pencegahan dengan pembabitan secara umum, selektif dan fokus yang menyasarkan keluarga, institusi pendidikan, tempat kerja dan komuniti untuk mendekati golongan muda," katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, semalam.

Beliau menjawab soalan Zahari Kechik (PN-Jeli) mengenai bilangan tangkapan penagih dadah dalam kalangan anak muda di seluruh negara pada 2021 dan 2022 serta perancangan kementerian untuk membendung masalah sosial itu daripada menular.

Berita Harian X