KUALA LUMPUR: Penetapan kadar siling bagi kos pengambilan pekerja asing yang akan dimasukkan dalam Perjanjian Persefahaman (MoU) kerajaan Malaysia dan Indonesia antara langkah diambil kerajaan bagi membendung sindiket kos pengambilan pekerja asing yang tinggi.
Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar, berkata kadar siling ditetapkan melalui perbincangan dan persetujuan bersama kerajaan dan negara sumber itu akan diteruskan dalam MoU akan datang.
Di samping itu, beliau berkata kerajaan juga mewajibkan pembabitan Agensi Pekerjaan Swasta (APS) berdaftar di Malaysia dan di negara sumber dalam proses pengambilan pekerja asing bagi menangani isu berkenaan.
"Keperluan ini telah mula diperkenalkan di dalam MoU antara kerajaan Malaysia dan Republik Indonesia yang mana pembabitan APS di kedua-dua negara adalah diwajibkan di dalam proses pengambilan pekerja asing," katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik (PH-Balik Pulau) yang meminta menteri menyatakan berkenaan sindiket kos pengambilan pekerja asing yang begitu tinggi dan apakah jaminan kementerian agar isu itu tidak berulang.
Sivakumar menjelaskan isu kos pengambilan pekerja asing yang tinggi adalah antara sebab utama wujudnya sindiket membawa masuk pekerja asing secara haram.
Beliau berkata kos yang tinggi menyebabkan majikan memilih jalan alternatif yang lebih mudah dan murah untuk merekrut pekerja asing berbanding saluran yang sah di sisi undang-undang.
"Walau bagaimanapun, penggunaan sindiket bagi merekrut pekerja asing menimbulkan banyak permasalahan kepada negara seperti pemerdagangan orang, buruh paksa, pelanggaran undang-undang perburuhan serta pencabulan hak asasi manusia," katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata kerajaan memandang serius terhadap isu berkenaan dan mengambil langkah-langkah yang sesuai bagi menangani permasalahan terbabit.
Katanya, langkah lain diambil bagi membendung isu berkenaan adalah mengawal dan menetapkan jumlah fi yang boleh dikenakan terhadap majikan yang ingin menggajikan pekerja sebagaimana yang dinyatakan di dalam Jadual Pertama Akta Agensi Pekerjaan Swasta 1981;
Langkah lain mengetatkan penguatkuasaan akta-akta perburuhan seperti Akta Kerja 1955, Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) serta Akta Imigresen.
"Menganjurkan sesi libat urus bersama pertubuhan dan persatuan majikan bagi memastikan mereka mengambil pekerja asing melalui saluran yang sah dan mengikut lunas undang-undang bagi mengelakkan terbabit dengan isu pemerdagangan orang dan buruh paksa yang akan memberi kesan lebih buruk kepada perusahaan mereka dan juga imej negara," katanya.