KUALA LUMPUR: Beberapa lagi pemimpin UMNO, hari ini mengesahkan mengemukakan borang pencalonan mereka bagi merebut 25 jawatan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada pemilihan parti, bulan depan.
Antaranya, Timbalan Menteri Kerja Raya, yang juga Ahli Parlimen Kuala Lipis, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad.
Abdul Rahman berkata, berbekalkan pengalaman lebih 30 tahun dalam UMNO, beliau menawarkan diri untuk bertanding jawatan itu dan berharap mendapat sokongan daripada semua ahli parti.
"Beri peluang untuk saya terus berkhidmat bagi merangka strategi kerana usaha untuk memulihkan dan menguatkan parti ini berdepan cabaran yang besar dan perlu bermula dari sekarang," katanya dipetik portal UMNO Online, hari ini.
Sementara itu, Ahli MKT, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya dan Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, juga mengesahkan sudah menghantar borang pencalonan di Menara Dato' Onn, hari ini untuk mempertahan jawatan disandang mereka ketika ini.
Fathul Bari dalam catatan di Facebook, mengesahkan perkara itu dan memohon sokongan daripada semua perwakilan UMNO.
Selain Ahli MKT, saingan pemilihan UMNO kali ini dijangka bertumpu kepada perebutan tiga jawatan Naib Presiden UMNO, yang dikhabarkan menerima lebih lima pencalonan.
Hari ini, Ahli Parlimen Kota Tinggi, yang juga Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, mengesahkan pencalonannya untuk sekali lagi merebut jawatan itu.
Selain beliau, seorang lagi Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid, juga dijangka akan mempertahankan jawatan itu, manakala seorang lagi Naib Presiden, yang juga bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, masih belum membuat keputusan.
Ketika ini, jawatan Naib Presiden parti disandang Ismail Sabri, Mahdzir dan Mohamed Khaled.
Beberapa pemimpin dijangka mengemukakan pencalonan merebut jawatan itu, antaranya, Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani; Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said; Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir serta Ahli Parlimen Simpang Renggam, Datuk Seri Hasni Mohamad.
Sementara itu, anak kepada penulis blog kontroversi, Raja Petra Kamarudin, Raja Sara Petra, menawarkan diri bertanding jawatan EXCO Puteri Umno pada pemilihan parti kali ini.
Beliau yang juga Ketua Puteri UMNO Batu beranggapan, sayap UMNO itu memerlukan kepemimpinan yang kukuh bagi menghadapi cabaran mendatang, selain mahu memastikan parti itu kekal relevan.