Selasa, 21 Februari 2023 | 2:12pm
Gambar fail - Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man
Gambar fail - Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man

'Lebih ramai pemimpin PN bakal didakwa menjelang PRN' - Tuan Ibrahim

KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) menjangkakan lebih ramai pemimpin daripada gabungan parti itu akan 'terpalit' dengan pendakwaan terpilih, kata Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Kenyataan itu menyusul selepas Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan, merangkap Ahli Parlimen Tasek Gelugor dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini, atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM6.9 juta membabitkan projek Jana Wibawa.

Tuan Ibrahim turut mendakwa kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengenai sesuatu isu yang mendahului jawatankuasa penyiasatan, lantas membina satu persepsi negatif kepada PN menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN).

"Ya (jangka ramai pemimpin PN akan terpalit pendakwaan terpilih). Saya tengok ia lebih bersifat pendakwaan terpilih. Ini persiapan untuk PRN, tentu ada kaitan kenapa kita boleh buat dan sebagainya.

"Bahkan kes PAC (Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara) sudah settled (selesai) semua, sudah bincang satu persatu tetapi persepsi terus dibina atas benda macam itu.

"Sepatutnya bila sudah teratur, PAC sendiri pun kita (Parlimen) telah tubuhkan, kita beri mandat sepatutnya...Kita hargai keputusan PAC.

"Jadi apabila Perdana Penteri, dia tak boleh buat spekulasi awal kerana kita kena serahkan kepada jawatankuasa penyiasatan. Bila perdana menteri buat persepsi awal, itu yang menimbulkan gelombang yang tidak betul. Kalau ada kes, kita serahkan kepada SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia)," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Terdahulu, Pengerusi PN yang juga Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mendakwa parti itu menjadi mangsa pendakwaan terpilih selepas Wan Saiful didakwa atas dakwaan rasuah bernilai RM6.9 juta pagi tadi.

Pada sidang media di Kompleks Mahkamah Jalan Duta hari ini, bekas Perdana Menteri itu, berkata setiap politik memerlukan dana untuk menjalankan aktiviti parti malah Perlembagaan membenarkan sumbangan diterima daripada ahli, orang ramai dan juga individu yang menyokong perjuangan parti.

Muhyiddin mendakwa Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) juga telah menerima dana daripada penyokong dan beliau mempersoalkan mengapa pemimpin mereka tidak didakwa di mahkamah.

Berita Harian X