Selasa, 21 Februari 2023 | 10:26am
Bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil mahu melupakan episod skandal NFC yang pernah mengheret namanya. - Foto NSTP/Fathil Asri
Bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil mahu melupakan episod skandal NFC yang pernah mengheret namanya. - Foto NSTP/Fathil Asri

'Sejak setahun lalu 147 ketua wanita datang pujuk saya'

SELEPAS lima tahun menyepikan diri daripada arus perdana politik negara, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil membuat keputusan kembali merebut jawatan nombor satu sayap Wanita UMNO pada pemilihan 11 Mac depan.

Bertekad mahu meletakkan sayap itu lebih relevan, berani dan berwawasan, bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu mahu melupakan episod skandal NFC yang pernah mengheret namanya.

Beliau berkongsi misi dan visinya untuk pergerakan itu jika diberi peluang kembali memimpin sayap yang menjadi tulang belakang UMNO itu.

Soalan (S): Jumaat lalu, Tan Sri mengumumkan sudah menghantar borang pencalonan untuk bertanding jawatan Ketua Wanita UMNO. Apa yang mendorong Tan Sri kembali semula dalam arena politik ini selepas berehat panjang?

Jawapan (J): Sebenarnya walaupun saya tidak mengambil bahagian secara aktif, tidak bermakna saya tinggalkan UMNO atau Wanita UMNO. Cuma apabila sudah serahkan jawatan dan tidak bertanding, sebab buat keputusan beri kepada orang lain yang lebih muda untuk mengemudikan Wanita UMNO. Ketika cuti 'sabatikal' ini membolehkan saya melihat dari luar, ini memberi pengajaran kepada saya betapa rakyat melihat UMNO-Barisan Nasional (BN), kelemahan dan kekuatan kita. Hasil daripada itu, saya nampak peluang untuk kembali. Hasrat saya adalah memperdanakan Wanita UMNO, kembali menjuarai isu negara, isu wanita, keluarga, ekonomi, politik dan lain-lain. Ini kerana Wanita UMNO menjadi tulang belakang parti, suara wanita mesti lantang terutama menghadapi krisis, cabaran politik dan ekonomi. Wanita perlu menjadi tunjang perjuangan pembangunan negara.

Dalam tempoh setahun ini, ramai Wanita UMNO yang datang bersembang-sembang dan memberikan pandangan. Mereka meminta saya mempertimbangkan untuk kembali menerajui Wanita UMNO. Saya sudah berfikir panjang dan ini bukan satu keputusan yang dibuat secara melulu sebab untuk bertanding mesti ada sokongan. Siapa juga tawar diri sama ada mempertahankan jawatan atau mencalonkan diri bertanding, saya rasa peluang adalah sama rata.

SELEPAS lima tahun menyepikan diri daripada arus perdana politik negara, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil membuat keputusan kembali merebut jawatan nombor satu sayap Wanita UMNO pada pemilihan 11 Mac depan.- Foto NSTP/Fathil Asri
SELEPAS lima tahun menyepikan diri daripada arus perdana politik negara, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil membuat keputusan kembali merebut jawatan nombor satu sayap Wanita UMNO pada pemilihan 11 Mac depan.- Foto NSTP/Fathil Asri

S: Adakah keputusan itu kerana 147 Ketua Wanita Bahagian yang meminta Tan Sri kembali atau ada permintaan dari pucuk pimpinan parti untuk buat 'come back'?

J: Saya nak buat penjelasan di sini mengenai sokongan 147 Ketua Wanita Bahagian ini. Sebenarnya, dalam kenyataan Ketua Wanita UMNO Bahagian Kota Melaka, Datuk Haryaty Hamdzah, beliau tidak menyatakan 147 sokong saya. Sebenarnya 147 itu adalah mereka yang datang ke rumah saya untuk berkongsi pandangan mereka dan mereka mahu mendengar pendapat saya dan ada antara mereka memujuk saya kembali. Untuk bertanding ini kita tidak tahu apa akan berlaku, kita serahkan kepada perwakilan membuat keputusan. Jadi sebagai seorang mengamalkan demokrasi, saya serahkan keputusan siapa patut jadi Ketua Wanita UMNO kepada akar umbi. Apa saja keputusan akar umbi kita mesti terima. Biarlah mereka membuat keputusan. Insya-Allah pada akhirnya mereka akan buat keputusan yang tepat.

‘Sebenarnya ada 147 ketua wanita UMNO bahagian yang datang ke rumah saya untuk berkongsi pandangan dan mereka mahu mendengar pendapat saya dan ada antara mereka memujuk saya kembali,” Shahrizat Abdul Jalil. - Foto NSTP/Fathil Asri
‘Sebenarnya ada 147 ketua wanita UMNO bahagian yang datang ke rumah saya untuk berkongsi pandangan dan mereka mahu mendengar pendapat saya dan ada antara mereka memujuk saya kembali,” Shahrizat Abdul Jalil. - Foto NSTP/Fathil Asri

S: Ada pandangan keputusan Tan Sri untuk bertanding akan menggugat perpaduan dalam pergerakan Wanita UMNO. Apa komen Tan Sri?

J: Itu satu alasan yang tidak patut. Selalu apabila ada pertandingan, kita akan dengar perpecahan akan berlaku. Saya menyangkal pandangan sedemikian. Malah, ia (pertandingan) satu amalan sihat. Mereka (perwakilan) akan memilih pemimpin boleh berbakti dan ada ketokohan. Menjadi tanggungjawab yang menang untuk menyatukan balik semua. Saya selalu beranggapan Ketua Wanita itu adalah payung untuk semua, bukannya payung untuk 'teamnya' saja. Jika begitu, dia ketua yang lemah. Ketua yang tulen adalah mereka yang mempunyai kekuatan dan boleh memastikan visinya menjadi kenyataan.

S: Tidakkah pertandingan ini akan mewujudkan Team A dan Team B dalam Wanita UMNO.

J: Tidak. Saya seorang yang amat positif. Saya sudah tengok, saya orang lama dalam UMNO. Perkara ini tidak akan berlaku. Ada keperluan yang menang itu mentautkan kembali ahli Wanita. Saya tidak bimbang dengan perkara ini. Ini kerana saya sudah tengok dalam pertandingan yang sengit pun, dengan adanya ketua yang hebat dalam masa terdekat boleh satukan dan tautkan semua ahli.

S: Apabila Tan Sri memutuskan kembali aktif dalam politik, mahu atau tidak sudah tentu tidak boleh lari daripada isu kes Pusat Fidlot Nasional (NFC). Adakah isu ini akan menjejaskan peluang Tan Sri?

J: Sudah tentu NFC akan menjadi isu yang dibangkitkan. Saya sudah menghadapi isu ini dengan keberanian kerana kita tahu apa yang sedang berlaku. Pertama, tiada apa-apa kes dikenakan terhadap saya. Suami saya menjadi mangsa politik waktu itu. Ini berlaku 11 tahun lalu. Suami saya kini bebas tuduhan, jadi saya kena 'move on'. Isunya bagaimana saya menghadapi dugaan dan cabaran besar ini. Saya sebagai individu, pemimpin, isteri, ibu dan Ketua Wanita menangani cabaran besar itu. Alhamdulillah ketika menjadi Ketua Wanita, saya mendapat sokongan Wanita UMNO dalam menghadapi dugaan itu. Ini (kes NFC) adalah satu pendakwaan bermotifkan politik. Ia adalah ujian kepada saya sebagai pemimpin, isteri, ibu. Alhamdulillah saya dapat menanganinya dengan baiknya.

S: Apa maksud Tan Sri mahu mengembalikan suara Wanita UMNO. Adakah bermakna suara Wanita UMNO ketika tidak lantang?.

J: Berdasarkan maklum balas saya terima, mereka mahukan seorang Ketua Wanita UMNO berani, bersuara lantang, mempunyai visi dan misi jelas membawa Wanita ke arah lebih relevan. Sama ada itu ada atau tidak dalam Wanita UMNO sekarang, itu bukan untuk saya membuat andaian.

S: Apa misi dan visi Tan Sri untuk Wanita UMNO jika menang pemilihan bulan depan?

J: Saya berminat dengan konsep 'Galaxy of Stars' bukan 'Lone Star'. Pelan strategik saya sudah tentu ada, tetapi saya perlu menang dulu. Jika diberikan kepercayaan, saya akan duduk bersama barisan kepimpinan untuk menentukan hala tuju Wanita... bagaimana hendak membawa suara Wanita ke hadapan dalam Kerajaan Perpaduan. Seperti Wanita UMNO dulu.. semangat tudung merah amat mustahak. Jangan biar ia pudar.

S: Penganalisis berpendapat Tan Sri selaku veteran tak sesuai bertanding jawatan Ketua Wanita, lebih sesuai jadi penasihat saja.

J: Dalam perjuangan politik, umur bukan perkara yang kritikal. Yang penting mesti ada visi, semangat, mempunyai kesihatan yang baik dan mampu memimpin pergerakan. Apa guna kalau orang muda tetapi tiada visi dan semangat. Apa yang dibimbangi, jika kita bercakap soal umur ini jika pemimpin semangatnya tua, visi dan misi yang lemah, ini yang bahaya dalam kepimpinan, bukan soal umur. Mereka yang berumur ada pengalaman, kebijaksanaan, kesabaran dan mampu menggembleng tenaga. Jika diberi tempat dalam Wanita UMNO, antara agenda utama adalah memberi tempat, ruang dan peluang menggilap potensi pemimpin pelapis. Pemimpin berpengalaman ini pula akan menjadi mentor. Untuk jadi penasihat, saya memang tidak setuju kerana Wanita UMNO ini adalah tulang belakang parti. Kita ibu dan pemimpin mengapa perlu kita menjadi penasihat. Jika pemimpin atau Ketua Wanita itu ada penasihat, maknanya Ketua Wanita itu lemah atau gagal menjalankan tugasnya. Sebagai ketua, kitalah patut menjadi penasihat dan mentor kepada yang lain.

S: Ada laporan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengunjungi Tan Sri di rumah sebelum mengumumkan untuk bertanding. Adakah Ahmad Zahid mempengaruhi keputusan untuk bertanding?

J: Tiada. Kita kena hormat Presiden parti. Beliau ada kewarasan dan ada kewibawaan beliau sendiri dan tidak akan berbuat begitu. Beliau hadir di rumah untuk makan malam bersama keluarga. Itu bukan lawatan politik. Kami sudah lama bersahabat dalam politik dan kami keluarga besar. Sudah menjadi kebiasaan kita buat lawatan dan ziarah ke rumah sahabat, ini menjadi lumrah... perkara biasa.

S: Apa mesej Tan Sri untuk perwakilan akan mengundi pada pemilihan kali ini.

J: Saya harap perwakilan buat pilihan tanpa paksaan. Pilih pemimpin yang boleh memimpin sebaiknya kerana landskap politik amat berlainan. Kita kini di bawah Kerajaan Perpaduan, kita mesti duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan rakan dalam kerajaan seperti DAP, PKR dan Parti Amanah Negara (AMANAH) dan lain-lain. Ketua Wanita perlu ada kecekalan dan keberanian serta mampu berdiri sama tinggi dalam barisan kepemimpinan parti. Jika tidak, suara wanita akan hilang. Pilihlah ketua yang boleh membawa Wanita UMNO ke tahap yang mulia dan dihormati serta ada suara lantang, gagah perkasa dan kembali relevan. Jika Wanita UMNO tidak kuat, parti akan hancur.

S: Apabila Tan Sri memutuskan untuk bertanding, ada pandangan ia bermaksud Ketua Wanita UMNO kini, Datuk Seri Noraini Ahmad gagal. Apa pandangan Tan Sri.

J: Saya tidak boleh berkata demikian dan membuat andaian. Perkara itu, kita kena tengok apa keputusan Wanita UMNO. Saya meraikan demokrasi sebab itu menawarkan diri.

S: Apa pandangan Tan Sri mengenai Noraini sebagai Ketua Wanita UMNO.

J: Situasi yang ada kini menjadi satu bukti mengenai kemampuan Noraini. Apa yang saya pasti, Wanita UMNO mesti berubah. Jika duduk di takuk ini, pengaruh kita akan lupus begitu saja. Ini hakikat. Wanita UMNO mesti kembali relevan, tudung merah perlu kembali dengan semangat, visi dan misi baharu.

S: Pembaharuan yang bagaimana mahu Tan Sri bawa.

J: Saya seorang yang bekerja dengan sistem dan ada pelan. Misi dan visi kena tepat kerana nak menjaga Wanita UMNO dengan 1.3 juta ahli di 23,000 cawangan kita tidak boleh buat kerja 'adhoc', kena ada rancangan terutama jalinan dengan ahli di cawangan. Sesiapa saja jadi Ketua Wanita kena kembalikan semangat yang pudar di cawangan. Itu hakikat jika tidak kita tidak kalah teruk dalam PRU tahun lalu.

Berita Harian X